TAS Offshore kembali catat keuntungan pada suku ketiga sebanyak RM654,000 berbanding kerugian RM1.9 juta pada tahun sebelumnya | DagangNews Skip to main content

TAS Offshore kembali catat keuntungan pada suku ketiga sebanyak RM654,000 berbanding kerugian RM1.9 juta pada tahun sebelumnya

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 April - TAS Offshore Berhad kembali mencatatkan keuntungan sebanyak RM654,000 bagi suku ketiga berakhir 28 Februari 2023 selepas mencatatkan kerugian sebanyak RM1.9 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu mencatatkan perolehan sebanyak RM5.55 juta dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM700,000 pada suku itu dan pembukaan semula China dijangka memacu pemulihan kukuh dalam permintaan global untuk tenaga dan sumber asli.

 

Peningkatan itu disebabkan keuntungan ke atas perubahan dalam nilai saksama pelaburan yang diukur pada nilai saksama melalui untung atau rugi dan keuntungan tidak direalisasi daripada pertukaran asing pada suku semasa.

 

"Permintaan arang batu yang melonjak secara drastik telah meningkatkan aktiviti operasi dalam sektor perlombongan di Indonesia dan ini akan merangsang permintaan untuk lebih banyak bot tunda yang penting untuk pengangkutan bahan pukal antara pulau di Indonesia," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu kekal optimis mengenai prospek mereka kerana perkembangan memberangsangkan dalam industri perlombongan arang batu di Indonesia memberi petanda baik.

 

Katanya, aktiviti perniagaan kumpulan tertumpu kepada pembinaan kapal untuk pengangkutan, operasi pelabuhan dan industri perlombongan.

 

"Kumpulan tidak mengeluarkan sebarang unjuran keuntungan untuk tempoh kewangan semasa atau dalam tempoh kewangan sebelumnya," katanya. - DagangNews.com