Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Sept. - CGS-CIMB Research sekali lagi menegaskan tiada satu pun daripada sasaran 15 perkhidmatan penstriman ‘freemium’ atau langganan video berdasarkan permintaan (SVOD) mampu menarik pengguna kembali melanggan Astro.
Dalam pandangan firma itu, gabungan perkhidmatan secara keseluruhan adalah lebih baik berbanding tawaran platform SVOD secara individu.
“Sebagai contoh, isi rumah Malaysia yang berbangsa Cina mungkin tidak melihat ada sebarang nilai untuk melanggan Astro sebelum ini jika mereka boleh melanggan perkhidmatan penstriman lain secara berasing pada kadar agregat lebih murah.
“Namun, dengan Astro yang kini mempunyai Disney+ Hotstar, HBO GO, dan mungkin Netflix pada masa akan datang ke dalam Movies Pack, isi rumah dapat menikmati semuanya - bersama-sama dengan TVBAnywhere+ dengan melanggan Super Pack Lite Movies, harga runcit pada RM96 sebulan.
“Melanggan empat perkhidmatan SVOD secara individu akan menelan kos RM128.10 sebulan secara terkumpul. Dengan tambahan 11 SVOD yang menyertai rangkaian pengagihan Astro, pelanggan Astro mungkin dapat berjimat lebih lagi,” jelas firma itu dalam satu nota kajian.
Firma itu mengulas mengenai tawaran Astro kepada pelanggan Dynasty Pack yang berhak menikmati perkhidmatan SVOD Television Broadcasts Ltd (TVB) secara percuma bermula 13 September ini.
TVB merupakan media gergasi di Hong Kong yang mempunyai pengaruh besar dalam diaspora Cina termasuk mereka di Malaysia yang biasa dengan dialek Kantonis.
Sebagai rekod, TVB Anywhere+ sememangnya telah berada di pasaran Malaysia sejak April 2021, dengan kos langganan RM39.90 sebulan.
“Astro mengakui bahawa pangkalan pelanggannya kurang dari segi komuniti Cina. Kami melihat penting untuk Astro meliputi isi rumah Cina-Malaysia, kerana mereka mempunyai pendapatan isi rumah tertinggi di antara tiga kumpulan etnik utama.
“Kami rasakan TVBAnywhere + ini boleh menjadi langkah pertama untuk meningkatkan jumlah pelanggan masyarakat Cina,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com