TDM rekod untung sebelum cukai RM4.7 juta, didorong peningkatan hasil sebanyak RM159.5 juta | DagangNews Skip to main content

TDM rekod untung sebelum cukai RM4.7 juta, didorong peningkatan hasil sebanyak RM159.5 juta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - TDM Berhad merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM4.7 juta untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2022 (2QFY22) berbanding kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM1.4 juta pada 2QFY2021. 

 

Hasil kumpulan bagi suku itu juga meningkat sebanyak 44% kepada RM159.4 juta daripada RM111.0 juta yang dilaporkan pada tahun lalu.

 

Bahagian perladangan dan penjagaan kesihatan juga meningkat masing-masing sebanyak 70% dan 16%. 

 

Pendapatan Sebelum Cukai Faedah, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) juga mencatatkan peningkatan sebanyak 30% daripada RM22.7 juta kepada RM29.6 juta bagi tempoh sama.

 

Bagi tempoh enam bulan, hasil kumpulan itu juga meningkat sebanyak 42% dari tahun ke tahun kepada RM303 juta. 

 

Hasil daripada bahagian perladangan meningkat sebanyak 69% dari tahun ke tahun dan bahagian penjagaan kesihatan mencatatkan pertumbuhan 14%.

 

Sementara itu, kumpulan melaporkan PBT sebanyak RM21.6 juta berbanding LBT sebanyak RM4.7 juta yang dicatatkan tahun lepas.

 

EBITDA melonjak sebanyak 53% daripada RM46.0 juta pada 1HFY2021 kepada RM70.3 juta pada 1HFY2022.

 

Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, pihaknya berbesar hati dengan perkembangan yang dicatatkan kumpulan itu terutamanya bahagian perladangan.

 

Katanya, kumpulan itu sangat positif terhadap segmen itu dengan harga minyak sawit mentah dijangka kekal tinggi berbanding harga purata sebelum ini.

 

"Bagi segmen penjagaan kesihatan, kami menjangkakan jumlah pesakit yang lebih ramai ketika Malaysia berusaha ke arah endemik.

 

"Penyepaduan Pusat Perubatan KMI Tawau yang baru diperoleh akan membantu meningkatkan hasil kumpulan," katanya. - DagangNews.com