Tealive sasar tingkatkan pengeluaran mutiara ubi kayu hingga 300 tan sebulan | DagangNews Skip to main content

Tealive sasar tingkatkan pengeluaran mutiara ubi kayu hingga 300 tan sebulan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Nov - Loob Holding, pemilik jenama teh gaya hidup serantau Tealive, berhasrat untuk meningkatkan pengeluaran bebola mutiara berasaskan ubi kayu sehingga 300 tan sebulan, bagi memastikan bekalan bahan minuman Tealive mencukupi sepenuhnya menjelang bulan hadapan.

 

Syarikat baru-baru ini membina sebuah kilang boba bagi penghasilan mutiara ubi kayu bernilai RM10 juta di Malaysia.

 

Pengasas dan Ketua Eksekutif Loob, Bryan Loo berkata, kilang tersebut akan memperluaskan variasi pengeluarannya tahun depan untuk menghasilkan bahan-bahan Tealive yang lain.

 

"Kapasiti pengeluaran kilang kami adalah sebanyak 400 tan sebulan. Saat ini, kami hanya menghasilkan kira-kira 100 tan sebulan. 

 

"Namun pada akhir tahun, kami berhasrat untuk meningkatkan pengeluaran menjadi tiga kali ganda, iaitu 300 tan sebulan yang mencukupi untuk digunakan secara dalaman," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Loo berkata, kilang akan segera memperluaskan variasi pengeluarannya kepada bahan-bahan lain yang diperlukan bagi penyediaan rangkaian minuman Tealive yang popular. 

 

Katanya, rakan kongsi Loob, Zhejiang Boduo International Trade Co Ltd dan Shanghai Panfei International Trade Co Ltd adalah antara pengeluar bahan minuman terbesar di dunia.

 

 

tealive
Bryan Loo

 

 

Dengan visi yang kukuh dan komitmen terhadap kecemerlangan, transformasi, dan inovasi dalam industri minuman di Malaysia dan di seluruh dunia, Loo bertekad untuk menjalin kerjasama yang lebih erat dengan rakan kongsi dari China.

 

"Loob yakin bahawa pelaburan semula di peringkat tempatan dapat membantu mengubah Malaysia menjadi pusat kecemerlangan dalam industri makanan dan minuman. Dengan sokongan rakan kongsi kami di China, kami telah membawa pelabur asing ke Malaysia untuk membantu memajukan industri ini.

 

"Kami mencapai kejayaan yang besar di sini, dan kami yakin bahawa kerjasama kami akan menjadi lebih erat di masa depan. Dengan kepakaran, teknologi, dan jangkauan pasaran mereka, serta warisan halal kami yang kukuh, kami yakin dapat bekerjasama untuk meneroka lebih banyak pasaran, terutamanya dalam penghasilan bahan halal," katanya.

 

 

tealive

 

 

Kilang Loob juga akan mula mengeksport mutiara ubi kayu mereka pada tahun depan, dengan memasuki pasaran Filipina terlebih dahulu, yang mana pasaran Tealive telah kukuh, katanya.

 

Tambahnya, pihaknya akan meneruskan pelaburan selanjutnya, seperti pemasangan teknologi pembungkusan automatik sepenuhnya pada tahun depan. - DagangNews.com