Tebing sungai runtuh tidak jejas Projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau siap mengikut jadual pada 2025 - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Tebing sungai runtuh tidak jejas Projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau siap mengikut jadual pada 2025 - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Sept - Projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau secara keseluruhan dijangka siap mengikut jadual pada 2025 walaupun tebing sungai bagi projek berkenaan runtuh dan menyebabkan gangguan di tapak pembinaan.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, semua kerja di tapak Skim Bekalan Air Sungai Rasau (peringkat 1) di Taman Mas, Puchong dihentikan selepas tambak kolam runtuh pada Sabtu lalu menyebabkan air kolam memasuki kawasan hadapan kerja pembinaan.

 

Katanya, kawasan yang terjejas adalah tapak sampingan, iaitu struktur pengambilan, dan bukan tapak utama, atau di laluan kritikal.

 

"Kami bagaimanapun berpendapat, insiden itu boleh memberi kesan kepada kemajuan kerja sekurang-kurangnya pada FY25, walaupun Gamuda akan berusaha menyiapkannya mengikut masa.

 

“Kami menganggarkan tiada sebarang kemajuan kerja untuk projek itu selama sebulan dan ia dijangka memberi impak negatif kepada anggaran keuntungan bersih FY25  sebanyak 0.4% selain itu terdapat juga kos berkaitan dengan kerja-kerja pembaikan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Pada pukul 11 pagi, saham kumpulan itu susut sebanyak 11 sen atau 1.5% kepada RM7.30.
 

 

Terdahulu, dalam insiden itu tiada kecederaan dialami oleh pekerja pembinaan mahupun orang awam dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira 2 petang.

 

Sehubungan dengan itu, semua kerja pembinaan di tapak projek bekalan air itu dihentikan sementara bagi menilai keadaan dan melaksanakan protokol keselamatan tambahan.

 

Dalam perkembangan berasingan, firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu menerusi syarikat kersajamanya memperoleh kontrak pembinaan Loji Hidroelektrik Ulu Padas 187.5MW daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah.

 

Projek itu akan dibangunkan oleh Upper Padas Power Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh UPP Holdings Sdn Bhd, yang merupakan usaha sama antara Gamuda, Sabah Energy Corp Sdn Bhd dan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd.

 

Gamuda mempunyai 45% kepentingan ekuiti dalam syarikat kersjaama itu, manakala Sabah Energy memiliki 40% dan Kerjaya Kagum Hitech, baki 15%.

 

Syarikat JV itu juga akan menyepadukan rumusan solar terapung ke dalam projek itu, yang akan beroperasi pada 31 Disember 2031. 

 

"Gamuda akan mempunyai dua sumber pendapatan iaitu keuntungan pembinaan (2025-2030) dan pendapatan sumbangan (dari 2031), dengan andaian margin untung kasar 8% kami menganggarkan untung bersih RM128 juta bagi FY25-FY31," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM8.00 sesaham.- DagangNews.com