KUALA LUMPUR 30 Ogos - Techna-X Berhad mencatatkan untung bersih sebanyak RM301.9 juta untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2022 (2QFY22) berbanding kerugian bersih RM33.5 juta pada suku sama tahun lalu.
Perolehan kumpulan juga meningkat 65.1% kepada RM20.8 juta pada suku itu berbanding RM12.6 juta pada tahun lalu.
Keputusan cemerlang itu adalah hasil daripada pelupusan perniagaan kok metalurgi.
Pemulihan itu secara berkesan menjadikan dana pemegang saham syarikat kembali untung sebanyak RM93.0 juta pada 30 Jun 2022 berbanding ekuiti negatif RM27.0 juta pada 31 Disember 2021.
Pada masa sama, segmen perniagaan mencatatkan kenaikan keuntungan (PBT) sebelum cukai lebih 300% atau RM6.3 juta pada 2QFY22 dengan hasil sebanyak RM8.3 juta, berbanding hasil dan PBT masing-masing sebanyak RM4.6 juta dan RM1.5 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Untuk 1HFY22, kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM316.5 juta berbanding kerugian bersih RM57.4 juta sebelum ini dengan perolehan syarikat melonjak 89.3% kepada RM42.0 juta daripada RM22.2 juta pada tahun sebelumnya.
Pengerusi Eksekutif Techna-X, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja'afar berkata, keputusan itu berjaya meneruskan prestasi lonjakan yang dicapai pada suku sebelumnya.
Beliau berkata, beberapa tahun kebelakangan ini, pihaknya memberi tumpuan untuk memberi nafas baru kepada perniagaan kumpulan dengan memanfaatkan kecekapan teras dalam penggunaan teknologi.
"Pelupusan operasi kok yang menjadi punca kerugian kumpulan adalah langkah penting untuk kami melangkah ke hadapan dan mengalihkan sumber kewangan serta sumber manusia ke arah inovasi dan teknologi.
"Kami yakin bahawa lima tonggak strategik dalam perniagaan transformasi digital kami akan membentuk asas bagi Techna-X untuk membina cadangan pertumbuhan yang tinggi pada tahun-tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Segmen Penyelesaian Teknologi dan Transformasi Digital Techna-X terdiri daripada lima inisiatif teknologi utama iaitu Bandar Pintar, Agritech, Mobiliti Elektrik, Penyimpanan Tenaga dan Penyelesaian Komunikasi dan Keselamatan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif, Datuk Jared Lim berkata, kumpulan itu terlibat dengan pelbagai projek yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi dari segi skala pelaksanaan, serta penggunaan teknologi dan penyelesaiannya yang menjanjikan oleh pasaran yang disasarkannya.
"Contohnya, penyelesaian penyimpanan tenaga kami, yang berada di puncak penerimaan oleh entiti komersil dan perindustrian," katanya. - DagangNews.com