TechStore bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, terbitkan IPO 125 juta saham | DagangNews Skip to main content

TechStore bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, terbitkan IPO 125 juta saham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Julai - Syarikat perkhidmatanIT, TechStore Bhd memfailkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa MAlaysia bagi mengumpul dana bagi pengembangan perniagaan termasuk menambah kakitangan serta memberli perkakasan serta perisian baharu.

 

Cadangan IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 125 juta saham baharu dan tawaran penjualan 25 juta saham sedia ada pada harga yang akan ditentukan kemudian, menurut draf prospektus yang dikemukakan kepada Bursa Malaysia. 

 

Secara keseluruhannya, penyenaraian menawarkan pelabur sehingga 30% kepentingan dalam syarikat itu.

 

"Keperluan modal kerja kami dijangka meningkat seiring dengan jangkaan pertumbuhan dalam perniagaan, selain imbuhan kakitangan, syarikat juga merancang untuk menggunakan sebahagian daripada hasil sebagai bon tender dan bon prestasi untuk projek masa depan," kata syarikat itu.

 

TechStore merupakan penyedia rumusan keselamatan dan automasi IT, termasuk sistem arahan dan kawalan, sistem pengawasan seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan penggera kebakaran, selain pembayaran elektronik dan sistem pengendalian.

 

Syarikat itu mempunyai buku pesanan berjumlah RM135.8 juta, memenuhi keperluan pelanggan Malaysia dan Singapura dalam industri pengangkutan, hospitaliti, pendidikan, logistik dan perbankan. 

 

Bagi tahun kewangan berakhir Disember 2023, syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih RM7.7 juta pada hasil RM62.2 juta.

 

Menerusi terbitan IPO itu, TechStore akan menyediakan 25 juta saham baharu kepada orang ramai Malaysia dan 25 juta saham untuk orang yang layak. 

 

Syarikat itu juga akan memperuntukkan sejumlah 62.5 juta saham baharu kepada pelabur Bumiputera dan 12.5 juta saham kepada pelabur terpilih.

 

TechStore memperuntukkan sebahagian daripada hasil bagi membayar sebahagian pinjaman bank yang kini berjumlah RM39.2 juta, dan menubuhkan pejabat baharu di Johor, di mana syarikat itu menjalankan projek berkaitan dengan Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Singapura dan Malaysia.

 

Sementara itu, hasil daripada tawaran untuk jualan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih akan terakru sepenuhnya kepada pemegang saham jualan tunggal Mohd Fadzil Mohd Daud, yang merupakan Pengarah Eksekutif TechStore yang bertanggungjawab ke atas operasi.

 

Tan Hock Lim ialah pemegang saham terbesar semasa TechStore dengan 78.7% kepentingan ekuiti manakala Fadzil mempunyai 21.3%. Selepas IPO, pegangan Tan akan dicairkan kepada 59%, manakala kepentingan Fadzil akan dikurangkan kepada 11%.

 

M&A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan IPO.- DagangNews.com