Tekanan geopolitik, pasaran tempatan berakhir lemah | DagangNews Skip to main content

Tekanan geopolitik, pasaran tempatan berakhir lemah

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Bursa tempatan kurang bertenaga dan mengakhiri dagangan dengan lemah menjejaki pasaran serantau yang lain.

 

Petang ini indeks utama FBM KLCI ditutup kepada 1,566.4 mata setelah menyusut 14.22 mata atau 0.9%. 

 

Keseluruhan pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 859 berbanding 367 manakala 384 kaunter tidak berubah. 

 

Ia menyaksikan 6.53 bilion saham diniagakan bernilai RM6.37 bilion. 

 

Bercakap kepada DagangNews.com, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, keseluruhan sentimen terjejas ekoran ketegangan geopolitik selepas China memberi amaran kepada Taiwan bahawa percubaannya menuntut kemerdekaan dari China beerti mencetuskan perang. 

 

"Selain itu, pasaran saham Asia juga dipengaruhi sekatan ke atas dagangan runcit bagi saham seperti GameStop dan perbincangan yang membelenggu perkembangan pakej rangsangan Amerika Syarikat dalam Senat," katanya. 

 

Bagaimanapun, katanya, bagi pasaran saham tempatan, kaunter berkaitan pengeluar sarung tangan getah mendapat permintaan tinggi dalam dagangan hari ini apabila pelabur yang tidak dikenali membuat gesaan di media sosial hingga mendorong kepada penjualan pendek. 

 

Ini berikutan laporan baru-baru ini mengenai harga saham terutama syarikat pengeluar sarung tangan getah jatuh beberapa bulan kebelakangan ini di sebalik keuntungan yang direkodkan. 

 

"Namun, pembelian semakin berkurangan pada pertengahan pagi, setelah mencapai kemuncaknya. 

 

"Top Glove yang menjadi sasaran utama jualan pendek ditutup 8.5% lebih tinggi berbanding kaunter utama sarung getah yang lain seperti Hartalega, yang menyaksikan peningkatan 5.4%," katanya.  

 

Kebanyakan saham utama yang lain pula mengalami kerugian memandangkan pelabur runcit kemungkinan memilih saham lain yang juga sebahagian daripada indeks KLCI.

 

Saham perbankan seperti CIMB, Maybank dan Public Bank pula merekodkan kerugian hari ini, sekali gus mengheret turun indeks perkhidmatan kewangan sebanyak 1.9%, jelasnya. 

 

Dalam pada itu, bursa tempatan dijangka menyaksikan dagangan yang kecil di sebalik cuti pertengahan minggu yang pendek. 

 

"Sehubungan itu, indeks FBM KLCI akan diniagakan dalam julat yang kecil. 

 

"Paras rintangan semasa ditambat pada 1,600 mata manakala paras sokongan berada pada 1,560 mata," katanya.

 

Dari segi pasaran kewangan pula, menurut beliau, ringgit diniagakan 0.1% lebih tinggi berbanding dolar AS walaupun Moody's mengekalkan prospek penarafan Malaysia yang stabil. 

 

"Selain itu, dolar AS menghadapi tekanan berikutan sekatan terhadap saham Game Stop," katanya. 

 

Beliau menjangkakan ringgit akan mengukuh berbanding dolar AS dan mencecah RM4.03 pada minggu hadapan sekiranya terdapat perkembangan positif dalam pelancaran vaksin COVID-19.  

 

Petang ini, ringgit ditutup pada RM4.0430/0470 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan Rabu pada RM4.0440/0470. - DagangNews.com