Tekanan inflasi, harga bahan mentah tinggi pengaruhi margin keuntungan Cocoaland | DagangNews Skip to main content

Tekanan inflasi, harga bahan mentah tinggi pengaruhi margin keuntungan Cocoaland

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Sept - Keadaan ekonomi semasa dan tekanan inflasi dijangka memberi kesan terhadap permintaan produk keluaran Cocoaland Holdings Berhad.

 

BIMB Securities Research berkata, pada masa sama, harga bahan mentah yang kekal tinggi juga dilihat akan mempengaruhi margin keuntungan kumpulan pada masa akan datang.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu optimis terhadap prospek mereka terutama dengan pengenalan rasa baharu selain pengembangan rangkaian produk.

 

"Kumpulan itu juga berkeyakinan dengan barisan pengeluaran baharu yang akan meningkatkan kapasiti mereka dalam memnuhi permintaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih serta hasil kumpulan itu bagi 2QFY22 masing-masing merosot sebanyak 55.9% dan 14.1% dari suku ke suku disebabkan permintaan yang lemah daripada segmen Perniagaan Perdagangan dan Pembuatan Kontrak serta produk makanan ringan dari Arab Saudi.

 

cocoland

 

Bagaimanapun, dari tahun ke tahun, untung bersih kumpulan itu melonjak sebanyak 366.4% berikutan hasil menggalakkan yang berkembang sebanyak 157.4% kesan daripada pembukaan semula ekonomi sejak April 2022.

 

Untung bersih 1HFY22 kumpulan sebanyak RM15.2 juta berada dalam unjuran firma itu dan ia menyumbang 52.6% daripada anggaran tahun penuh.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'jual' terhadap saham Cocoaland dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.22 sesaham.

 

"Kami berhati-hati terhadap prospek perniagaan memandangkan produk bukan keperluan kumpulan yang dianggap sebagai tidak kalis kemelesetan yang mungkin berhadapan dengan persekitaran perniagaan yang mencabar dan kos input yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com