Tekanan inflasi, rasionalisasi subsidi bahan api dijangka beri kesan kepada prospek Power Root, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Tekanan inflasi, rasionalisasi subsidi bahan api dijangka beri kesan kepada prospek Power Root, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek Power Root Bhd bagi pasaran domestik berikutan kelemahan perbelanjaan pengguna akibat tekanan inflasi serta kebimbangan terhadap rasionalisasi subsidi bahan api yang akan dilaksanakan.

 

Bagaimanapun, katanya, kenaikan gaji secara progresif untuk penjawat awam berkuat kuasa Disember 2024 seharusnya memulihkan kuasa perbelanjaan pengguna.

 

"Ketidakstabilan geopolitik yang berterusan mewujudkan cabaran dalam landskap runcit global, terutamanya memberi kesan kepada permintaan dan menyebabkan gangguan bekalan di pasaran Asia Barat.

 

"Turun naik dalam harga komoditi dan kadar pertukaran asing akan terus memberi tekanan kepada kos kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu pada suku pertama berakhir 30 Jun 2024 (1QFY25) menyusut kepada RM7.3 juta berbanding RM15.3 juta disebabkan kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan manakala hasil mereka juga susut kepada RM106.2 juta berbanding RM112.4 juta pada 1QFY24.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan kumpulan dari suku tahun ke suku tahun susut 23% kepada RM9 juta disebabkan hasil yang berkurangan dan kerugian pertukaran mata wang asing yang lebih tinggi.

 

Katanya, prestasi luar negara yang lemah sebahagian besarnya disebabkan oleh cukai gula yang tinggi di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Oman, yang membawa kepada kenaikan harga 50% untuk produk Alicafe, mengurangkan jumlah jualan sebanyak separuh.

 

"Bagi pasaran dalam negara, cabaran timbul daripada pelarasan strategi harga, mengecilkan diskaun berbanding pesaing.

 

"Keuntungan bersih merosot sebanyak 18%, sebahagiannya diimbangi oleh kadar cukai efektif yang lebih rendah," katanya.

 

Kenanga Research berkata, mereka terus berhati-hati terhadap Power Root berikutan persaingan semakin sengit dalam pasaran kopi pracampuran tempatan, kedudukan pasaran yang semakin terhakis bagi pasaran eksport utamanya di Asia Barat dan harga komoditi yang sentiasa tinggi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.28 sesaham," katanya.- DagangNews.com