Teknologi bakal bunuh peluang kerja rakyat Malaysia? | DagangNews Skip to main content

Teknologi bakal bunuh peluang kerja rakyat Malaysia?

teknologi

KUALA LUMPUR 2 Julai - Rata-rata rakyat Malaysia yakin terhadap kemajuan teknologi di negara ini tetapi turut menyatakan kembimbangan sekiranya situasi itu membunuh peluang pekerjaan mereka.

Hal ini disokong oleh hasil dapatan soal selidik Digital Resilience in a New World (PwC) Malaysia yang menunjukkan situasi itu tidak mustahil untuk berlaku dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Berdasarkan soal selidik itu,70% daripada 986 responden percaya bahawa teknologi bakal mengubah pekerjaan semasa mereka. 77% responden turut menyatakan keterujaan terhadap peranan yang boleh dimainkan teknologi dalam pekerjaan harian mereka. 

Sebaliknya 34% daripada mereka menyatakan kebimbangan terhadap jaminan pekerjaan dan berpendapat teknologi akan merisikokan pekerjaan mereka. 

"35% adalah positif dan berharap teknologi boleh menjadi pembantu untuk mereka lakukan lebih banyak kerja menarik dan 27% berpendapat teknologi boleh memberi peluang kepada mereka untuk menyelesaikan lebih banyak perkara lain.

"Responden lepasan universiti dengan sijil profesional percaya automasi akan menyediakan lebih banyak peluang berbanding risiko, berbeza dengan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mereka yang mempunyai kelayakan teknikal," merujuk soal selidik PwC.

Sementara itu, Ketua Pemasaran PwC berkata, kebanyakan syarikat mungkin berdepan dengan kesukaran melindungi pekerja, tetapi perkara itu perlu diteruskan bagi memastikan kemampanan ekonomi dalam normal baharu ketika pandemik Covid-19.

"Pihak kerajaan dan perniagaan terus bergelut dengan isu meningkatkan kemahiran ketika teknologi terus berkembang pesat dan ada juga yang terus mewujudkan jurang antara pekerja yang berkemahiran dan sebaliknya," katanya. - DagangNews.com