Teknologi canggih KL ATCC bantu menjimatkan bahan api RM1 bilion setahun | DagangNews Skip to main content

Teknologi canggih KL ATCC bantu menjimatkan bahan api RM1 bilion setahun

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC) yang terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal membantu menjimatkan penggunaan bahan api untuk pesawat sehingga RM1 bilion setahun.

 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, kompleks yang dilengkapi dengan teknologi canggih itu mampu membantu memendekkan laluan penerbangan selain tidak perlu untuk berlegar di ruang udara sebelum mendarat.   

 

Katanya, penjimatan masa mendarat juga akan membantu menjimatkan kos dalam industri penerbangan.

 

"Saya lihat dari segi pergerakan pendaratan pesawat, kita dapat memendekkan masa dan menjimatkan sejumlah RM1 bilion setahun.

 

"Ini adalah satu jumlah yang besar apabila kita melihat kecekapan penggunaan bahan api dan ia mampu dilakukan dengan ada KL ATCC yang dilengkapi pelbagai kemudahan canggih," katanya selepas perasmian KL ATCC, hari ini, lapor Berita Harian.

 

Kemudahan yang dibangunkan melalui Rancangan Malaysia ke-11 (RMKe-11) itu, disifatkannya sebagai mercu tanda dalam sektor penerbangan negara.

 

Kompleks KL ATCC bukan saja menempatkan operasi perkhidmatan trafik udara bagi seluruh ruang udara Semenanjung, malah turut menempatkan Pusat Mencari Dan Menyelamat Negara serta Pusat Koordinasi Pengurusan Ruang Udara Bersama (JAMCC). - DagangNews.com