Sektor hartanah komersial, pusat data dan logistik Malaysia positif pada 2025 - Kajian CREISS | DagangNews Skip to main content

Sektor hartanah komersial, pusat data dan logistik Malaysia positif pada 2025 - Kajian CREISS

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 6 Jan - Landskap hartanah komersial Malaysia diunjur terus berkembang, dengan pusat data (DC) dan sektor industri/logistik muncul sebagai sektor yang paling kukuh dan menjanjikan untuk 2025.

 

Menurut Kajian Sentimen Pelaburan Hartanah Komersial Malaysia (CREISS) 2025, berdasarkan maklumat yang dikumpulkan daripada pemimpin industri dan pihak berkepentingan, sektor-sektor itu didorong oleh permintaan yang semakin meningkat untuk pengkomputeran awan, pertumbuhan e-dagang dan kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan serantau.

 

Kajian yang dikeluarkan oleh Knight Frank Malaysia tersebut meramalkan bahawa, sub-sektor berkenaan akan mengatasi yang lain, dengan sumbangan penting daripada pembangunan pusat data yang berkembang pesat di Johor dan peluasan berterusan landskap industri di Lembah Klang.

 

"Sub-sektor peruncitan dan hospitaliti diramal berkembang pesat disokong oleh peningkatan perbelanjaan pengguna dan pemulihan sektor pelancongan, di mana Malaysia menerima 22.5 juta pelancong sehingga November tahun lalu.

 

"Ia satu petunjuk jelas mengenai momentum pertumbuhan untuk 2025," menurut kajian itu sambil menekankan, pemain industri menjangkakan kadar sewa dan kadar penghunian yang lebih baik dalam sektor-sektor tersebut, menunjukkan potensi pemulihan.

 

Sementara itu, meskipun Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3% sepanjang 2024, cabaran utama masih wujud termasuk peningkatan kadar faedah, tekanan inflasi, kesukaran pembiayaan dan peningkatan kos pembinaan yang didorong oleh ketegangan geopolitik serta gangguan rantaian bekalan.

 

"Kadar kekosongan bangunan yang meningkat disebabkan oleh trend kerja hibrid dan jurang penawaran-permintaan, bersama dengan cabaran fiskal, telah menambah tekanan kepada landskap hartanah komersial.

 

"Sektor peruncitan juga menghadapi penurunan jualan akibat boikot jenama, sementara risiko yang dijangkakan untuk 2025, seperti kenaikan kos, peralihan permintaan penyewa dan perubahan peraturan, dijangka menambah kebimbangan," menurut kajian itu.

 

CREISS 2025 turut memperlihatkan kepentingan yang semakin berkembang terhadap faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam hartanah, dengan fokus kepada kecekapan tenaga, pensijilan hijau dan amalan mampan, sementara perniagaan menyesuaikan diri dengan perubahan peraturan dan permintaan pelabur.

 

"Pengenalan cukai karbon dalam Belanjawan 2025 menekankan keperluan untuk pelaburan yang sejajar dengan ESG.

 

"Sebanyak 34% daripada responden berkata, organisasi mereka telah sepenuhnya mengamalkan ESG, manakala 66% telah mengintegrasikannya secara separa, memberi tumpuan kepada isu utama dalam pembuatan keputusan dan pelaporan mereka," jelas laporan berkenaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi berkata, ESG bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan bagi pemain hartanah untuk kekal kompetitif dalam landskap yang berkembang pesat.

 

"Sentimen ini turut dikongsi oleh 91% daripada responden kajian kami yang mengakui peranan kritikal ESG dalam strategi pelaburan mereka," tambahnya.

 

Kajian tersebut juga mengenal pasti Lembah Klang dan Johor sebagai peneraju dalam pelaburan hartanah komersial pada 2025.

 

"Lembah Klang kekal sebagai hab perniagaan dan ekonomi utama Malaysia, manakala Johor, yang terletak strategik berhampiran Singapura, terus menarik minat dalam sektor pusat data dan industri/logistik.

 

"Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan peningkatan pemerolehan tanah untuk projek DC menonjolkan tarikan Johor yang semakin berkembang," jelas kajian itu.

 

Walaupun menghadapi cabaran seperti peningkatan kos pembinaan dan pasaran yang didorong oleh penyewa, sebanyak 91% responden tetap optimis mengenai pasaran hartanah komersial Malaysia pada 2025, dengan 34% merancang untuk meningkatkan pelaburan mereka.

 

Namun, sejumlah 75% melihat prospek pelaburan domestik asing sebagai positif, disokong oleh pelaburan yang diluluskan sebanyak RM254.7 bilion sepanjang sembilan bulan pertama 2024, meningkat sebanyak 10.7% berbanding 2023.

 

Ekonomi Malaysia menunjukkan momentum positif dengan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.2% dan kadar pengangguran 3.3% dalam tempoh yang sama. - DagangNews.com