KUALA LUMPUR 21 Sept - Teknologi pendidikan yang menjadi tonggak baharu perniagaan Ramssol Berhad dijangka memacu hasil baharu terpenting kumpulan itu pada masa hadapan.
CGS-CIMB Research berkata, kumpulan itu menyasarkan untuk memanfaatkan peruntukan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dalam meningkatkan kemahiran pekerja.
Katanya, mereka merupakan penyedia latihan yang diperakui bagi pendigitalan perniagaan.
"Bermula 2HFY22, kumpulan itu akan menawarkan latihan berkaitan liabiliti korporat dan kesedaran rasuah untuk pelanggannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu juga mengunjurkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) berdasar kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) untuk tiga tahun sebanyak 10.2% didorong oleh permintaan yang tinggi untuk penyelesaian modal insan dan aplikasi teknologi dalam pasaran sedia ada.
Selain itu, perkembangan dalam pasaran baharu dan peluasan portfolio produk.
"Walaupun kami menjangkakan penyusutan sebanyak 20.1% dalam keuntungan bersih teras kumpulan bagi FY22 (sumbangan rendah daripada Teknologi Sumber Manusia selepas projek utama siap pada FY20-FY21) namun percaya penilaian semasa adalah lebih baik," katanya.
Firma itu berkata, selain menjadi pengedar untuk perisian teknologi modal insan pihak ketiga (Oracle, Sage dan Lark), kumpulan itu mempunyai keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk membangunkan teknologi dalaman, iaitu Feet’s dan Profile.La.
Katanya, pelanggan kumpulan itu termasuk bank serantau dan syarikat multinasional.
Firma itu memulakan liputan terhadap Ramssol dengan saranan 'tambah' pada harga sasarana (TP) 55 sen. - DagangNews.com