Telegram pilihan utama scammer dengan lebih 1,300 kes, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial | DagangNews Skip to main content

Telegram pilihan utama scammer dengan lebih 1,300 kes, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial

Gambar hiasan oleh Oberon Copeland @veryinformed.com

KUALA LUMPUR 6 Sept - Telegram adalah platform pilihan penipu atau scammer secara dalam talian, menurut Polis Bukit Aman.

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata 16 aplikasi media sosial dan pemesejan lazimnya digunakan oleh scammer dan Telegram mendahului senarai itu dengan 1,346 kes dikaitkan dengannya.

 

Ramli menggesa penyedia teknologi dan perkhidmatan untuk lebih bertanggungjawab dengan kandungan yang dimuat naik di platform mereka, khususnya penipuan dalam talian.

 

"Ini telah pun dikuatkuasakan di luar negara dengan tuduhan baru-baru ini terhadap CEO Telegram di mahkamah Perancis kerana membenarkan aktiviti jenayah dijalankan di platform.

 

"Mungkin sudah tiba masanya untuk kita melakukan pendekatan yang sama berikutan kebanjiran kandungan yang tidak disahkan yang telah menjadi ancaman kepada masyarakat," katanya pada sidang media di ibu pejabat JSJK di sini hari ini.

 

Dalam perkara berkaitan, Ramli berkata seorang lelaki berusia 49 tahun telah ditipu dalam penipuan pelaburan dalam talian, mengakibatkan kerugian hampir RM5 juta.

 

Mangsa, seorang pengarah syarikat, ditawarkan "peluang pelaburan" pada Disember 2022 dengan pulangan tahunan yang dijanjikan sehingga AS$2.9 juta (kira-kira RM12.5 juta).

 

“Terpengaruh dengan tawaran itu, pengadu kemudian membuat pemindahan RM4,328,750 ke dalam akaun luar negara milik ‘syarikat pelaburan’ itu.

 

"Bagaimanapun, sehingga hari ini dia tidak menerima sebarang pulangan," kata Ramli. - DagangNews.com