Tentera Darat terima dua helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk tahun ini | DagangNews Skip to main content

Tentera Darat terima dua helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk tahun ini

Helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk jenis sama yang bakal dimiliki PUTD.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 6 Jun - Dua helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang diperoleh Tentera Darat secara sewaan diterima tahun ini manakala bakinya pada tahun hadapan bagi melengkapkan empat buah kesemuanya.

 

Pesawat yang dikendalikan oleh Tim Nukleus Rejimen 882 Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) ini ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang.

 

Kontrak sewaan sebelum ini telah dimeterai Kementerian Pertahanan (MINDEF) bulan lalu pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 dengan syarikat Aerotree Defence and Services Sdn. Bhd. (Aerotree Defence) bernilai RM187 juta.

 

Difahamkan, pihak Aerotree Defence sedang berurusan dengan syarikat sewaan pesawat tersebut di Amerika Syarikat (AS) bagi proses selanjutnya sebelum dua helikopter berkenaan dibawa ke tanahair.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Aerotree, Datuk Halim Othman (duduk, kanan) sambil disaksikan Menteri Pertahanan, Dato' Seri Utama Mohamad Hasan semasa menandatangani kontrak sewaan helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk pada LIMA 2023 di Langkawi.
Pengarah Urusan Kumpulan Aerotree, Datuk Halim Othman (duduk, kanan) sambil disaksikan Menteri Pertahanan, Dato' Seri Utama Mohamad Hasan semasa menandatangani kontrak sewaan helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk pada LIMA 2023 di Langkawi.

 

Aerotree Defence merupakan anak syarikat Kumpulan Aerotree yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada agensi-agensi kerajaan termasuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Maritim Malaysia.

 

Antaranya khidmat sewaan pesawat, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta simulator latihan.

 

Aerotree juga diiktiraf sebagai salah satu Approved Maintenance Organisation oleh Directorate General Technical Airworthiness untuk helikopter Leonardo A109 LOH yang dioperasikan oleh Rejimen 881 PUTD. 

 

Menerusi kontrak sewaan ini pihak Aerotree Defence turut menyediakan kemudahan sokongan lain termasuk latihan simulator kepada juruterbang.

 

Walaupun helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk ini model terpakai yang pernah digunakan tentera Amerika Syarikat, tetapi ia masih dalam keadaan baik.

 

Helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk terpakai yang ditawarkan untuk sewaan oleh pihak ketiga.
Helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk terpakai yang ditawarkan untuk sewaan oleh pihak ketiga.

 

Helikopter dengan kokpit penerbangan digital ini juga telah dinaik taraf dan mampu melakukan penerbangan taktikal pada waktu malam serta dalam sebarang keadaan cuaca.

 

Ia menepati dengan kehendak operasi Tentera Darat yang memerlukan helikopter utiliti serta dapat melakukan operasi menghantar anggota ke barisan hadapan.

 

Justeru, pengoperasian Sikorsky UH-60A+ Black Hawk ini nanti boleh memberi bayangan pada jenis pesawat yang diperlukan PUTD dalam tempoh akan datang.

 

Konsep sewaan ini merupakan alternatif untuk menampung jurang keupayaan dalam jangka pendek selain pada kos lebih ekonomi.

 

Kaedah ini bukan sahaja lebih kos efektif berbanding melaksanakan pembelian helikopter baharu, malah membolehkan PUTD memanfaatkan aset yang diperlukan dalam tempoh masa yang lebih cepat.


 

Putd
Pemeriksaan dilakukan terhadap landasan terbang helikopter yang bakal digunakan.
 

 

Para pegawai Tim Nukleus Rejimen 882 PUTD melihat salah satu kemudahan yang telah siap bagi menerima ketibaan Black Hawk.
Para pegawai Tim Nukleus Rejimen 882 PUTD melihat salah satu kemudahan yang telah siap bagi menerima ketibaan Black Hawk.

 

Ketika ini segala kemudahan dan prasarana kem telah pun disiapkan bagi menanti ketibaan pesawat berkenaan.

 

Antaranya seperti Aircraft Dispersal, Taxiway, hangar pesawat, pejabat-pejabat skuadron, kediaman pegawai dan anggota serta stor senjata. 

 

Penempatan Tim Nukleus Rejimen 882 PUTD di Kuantan dilihat relevan bagi keperluan operasi Tentera Darat memandangkan sebuah batalion Pasukan Aturgerak Cepat berada di pantai timur.

 

Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) di Seberang Takir, Terengganu juga cenderung melakukan operasi secara hantaran menggunakan helikopter (heliborne), lantas menguatkan lagi andaian itu.

 

Tim Nukleus Rejimen 882 PUTD yang ditubuhkan pada tahun 2015 sebelum ini berpengkalan di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang mengendalikan helikopter Sikorsky S-61A Nuri bekas kepunyaan TUDM.


 

Helikopter Sikorsky S-61A Nuri semasa digunakan Tim Nukleus Rejimen 882 PUTD pada tahun 2017 sebelum ditamatkan operasi.
Helikopter Sikorsky S-61A Nuri semasa digunakan Tim Nukleus Rejimen 882 PUTD pada tahun 2017 sebelum ditamatkan operasi.

 

Rejimen 882 PUTD berperanan sebagai rejimen helikopter utiliti yang terlibat dalam penugasan pengangkutan udara taktikal dan pelbagai penugasan utiliti yang bersesuaian dengan Tentera Darat.

 

Bagaimana pun, operasi rejimen ini dihentikan sementara apabila khidmat helikopter Nuri ditamatkan susulan beberapa kejadian nahas dan atas faktor keselamatan.

 

PUTD mempunyai dua buah lagi rejimen iaitu Rejimen 881 yang mengendalikan helikopter A109 dan Rejimen 883 dengan enam buah helikopter MD530G. - DagangNews.com