Terengganu mulakan vaksinasi sektor pelancongan | DagangNews Skip to main content

Terengganu mulakan vaksinasi sektor pelancongan

Pulau Kapas, Terengganu

KUALA LUMPUR 15 Julai - Proses vaksinasi COVID-19 bagi sektor pelancongan dimulakan di Pulau Kapas, Terengganu yang melibatkan seramai 60 pekerja sektor berkenaan.

 

Pemberian vaksin di pulau berkenaan turut melibatkan 14 pelancong asing yang menerima suntikan vaksin keluaran Pfizer BionTech.

 

Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, jabatannya memberi keutamaan vaksinasi kepada pekerja pelancongan memandangkan Pulau Kapas yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negeri.

 

"Terengganu akan memasuki musim tengkujuh dan kita akan memastikan proses pemberian vaksin berjaya diselesaikan selewat-lewatnya Oktober depan," katanya seperti dilapor Berita Harian.

 

Beliau berkata demikian dalam Program Jelajah Vaksinasi Pulau Siri I di Pulau Kapas.

 

Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, yang juga Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 daerah, Lizan Che Mat dan Pengawai Kesihatan Marang, Dr. Tan Sin Yew.

 

Menurutnya lagi, tiga lagi pulau lain yang menjadi tumpuan pelancong iaitu Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Tenggol.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Jabatan Kesihatan Terengganu menyasarkan kira-kira 10,000 pekerja resort dan bot termasuk penduduk kampung akan menerima vaksin berkenaan menjelang Oktober nanti.

 

Katanya, bekalan vaksin keluaran Pfizer di negeri tersebut adalah mencukupi hingga akhir tahun ini.

 

Dalam masa sama, beliau yakin semua pengusaha pelancongan termasuk di Tasik Kenyir akan menerima vaksin. - DagangNews.com