Terima pengiktirafan, bukti Malaysia bukan negara gagal urus COVID-19, kata Hishammuddin | DagangNews Skip to main content

Terima pengiktirafan, bukti Malaysia bukan negara gagal urus COVID-19, kata Hishammuddin

 Simbolik penyerahan sumbangan bantuan COVID-19 daripada Arab Saudi.
Simbolik penyerahan sumbangan bantuan COVID-19 daripada Arab Saudi.

 

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Pengiktirafan dan penghargaan dari negara luar menjadi bukti bahawa Malaysia bukan sebuah negara yang gagal dalam menangani isu berkaitan COVID-19.

 

Perkara tersebut sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak terhadap Malaysia dalam isu berkenaan.

 

Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia turut menerima pelbagai sumbangan yang disalurkan sekutunya sebagai tanda penghargaan kepada negara.

 

"Jika benar kita negara gagal, saya tidak rasa kita akan diberi pengiktirafan dan penghargaan.

 

"Buktinya kita boleh lihat pelbagai sumbangan dari negara luar diberikan kepada Malaysia, terutama membabitkan sumbangan vaksin," katanya seperti dilapor Berita Harian.

 

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Perubatan COVID-19 daripada Arab Saudi di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) hari ini.

 

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr. Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

 

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, hingga kini Malaysia sudah menerima sumbangan masing-masing sebanyak sejuta dos vaksin daripada Amerika Syarikat (AS) dan Jepun serta 500,000 dos dari China.

 

Sementara itu, United Kingdom (UK) pula menyumbangkan 450,000 dos vaksin yang dijangka tiba Selasa nanti.

 

"Hari ini suka saya umumkan kerajaan Arab Saudi akan menyumbangkan sejuta dos vaksin AstraZeneca kepada Malaysia," katanya lagi.

 

Malaysia turut menerima sumbangan 4.5 juta unit bekalan peralatan perubatan bernilai RM21.14 juta daripada kerajaan Arab Saudi.

 

Keprihatinan berterusan Raja Arab Saudi, Raja Salman terhadap Malaysia membuktikan tekad Arab Saudi untuk berjuang bersama Malaysia di era pandemik yang serba mencabar. - DagangNews.com