Terkesan dengan sekatan pergerakan, prospek Bonia suram | DagangNews Skip to main content

Terkesan dengan sekatan pergerakan, prospek Bonia suram

 

 


KUALA LUMPUR 29 Sept. - CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham Bonia Corporation Bhd. dengan harga sasaran RM1 di sebalik prospek lemah kumpulan yang terkesan akibat sekatan pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19. 

 

Penganalisisnya, Syazwan Aiman Sobri berkata, operasi kumpulan dilihat sedikit pulih apabila kerajaan membenarkan industri peruncitan kembali dibuka mulai 16 Ogos lalu di bawah Pelan Pemulihan Negara. 

 

Katanya, Bonia dijangka kembali mencatat pemulihan secara berperingkat-peringkat mulai akhir suku pertama tahun kewangan 2022 setelah sekatan pergerakan dilonggarkan merentasi kesemua pasarannya.

 

"Ini sepatutnya meningkatkan kehadiran pengunjung ke butik Bonia dengan lebih baik. Bagaimanapun, ini mungkin mengimbangi jualan pada Julai yang lemah disebabkan sekatan pergerakan.

 

"Selain itu, pasarannya di Indonesia dan Vietnam contohnya, masih berdepan dengan lonjakan kes jangkitan yang tinggi baru-baru ini, akan menyebabkan jualan yang lemah," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, Bonia mengumumkan prestasi kewangan bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2021 yang menyaksikan pendapatan meningkat 66.1% tahun ke tahun disebabkan langkah sekatan yang kurang teruk berbanding tempoh sama bagi tahun lalu.

 

Dalam tempoh itu, jualan bagi pasaran Singapura dan Indonesia masing-masing meningkat 48.1% dan 692.4% apabila sekatan pergerakan semakin longgar. 

 

Bagi tahun kewangan 2021, untung bersih teras daripada operasi berterusan meningkat 6% tahun ke tahun kepada RM18.5 juta tidak termasuk rosot nilai berjumlah RM2.6 juta.

 

CGS-CIMB berkata, prestasi kewangan yang dilaporkan itu adalah di bawah ramalan firma dan konsensus Bloomberg pada 83%/85% disebabkan prestasi lemah pada suku keempat.

 

Sehubungan itu, ia menyemak turun unjuran pendapatan sesaham bagi tahun kewangan 2022 dan 2023 memandangkan pendapatan dianggar lebih rendah. - DagangNews.com