KUALA LUMPUR 18 Dis - Seramai 3,500 pengusaha stesen minyak di Semenanjung Malaysia mendakwa mereka terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM181 juta, susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel sejak Jun lalu oleh kerajaan.
Setiausaha Kehormat Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda), Datin Hanny Julia Haron berkata, rasionalisasi subsidi diesel telah memberikan cabaran ekonomi yang berat kepada para pengusaha.
"Sebanyak 98% stesen minyak dilaporkan mengalami kerugian daripada jualan petrol dan diesel, memaksa mereka beralih fokus kepada jualan di kedai serbaneka dalam usaha mengimbangi penurunan hasil jualan bahan bakar," katanya seperti laporan The Star.
Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan Konvensyen Wilayah Selatan Bumipeda di sebuah restoran di Kampung Orang Asli Teluk Jawa, Johor Bahru, hari ini.
Menurut Hanny Julia, keadaan itu boleh memberi kesan jangka panjang yang serius, termasuk kadar pengangguran yang lebih tinggi dan pengurangan pendapatan kerajaan daripada cukai dan levi.
Beliau turut menegaskan keperluan untuk mengkaji semula Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) yang telah dilaksanakan sejak 1983.
"APM perlu diselaraskan dengan belanjawan tahunan negara untuk mencerminkan realiti ekonomi masa kini," katanya sambil menambah, struktur kos sangat dipengaruhi oleh dolar Amerika, yang memberi kesan kepada margin bagi stesen minyak dan syarikat minyak.
Beliau juga menyuarakan kebimbangan mengenai kekeliruan dan ketidakstabilan yang ditimbulkan oleh sistem harga dua dalam satu tangki simpanan, di mana pengusaha terpaksa membeli bahan bakar pada harga tinggi, tetapi menjualnya pada harga yang lebih rendah. - DagangNews.com