AAX keluar pekeliling cadangan pengambilalihan perniagaan penerbangan Capital A bernilai RM6.8 bilion | DagangNews Skip to main content

AAX keluar pekeliling cadangan pengambilalihan perniagaan penerbangan Capital A bernilai RM6.8 bilion

Gambar AirAsia Newsroom

KUALA LUMPUR 25 Sept - AirAsia X Berhad (AAX) mengeluarkan pekeliling terperinci kepada pemegang sahamnya berkaitan cadangan pengambilalihan bernilai RM6.8 bilion membabitkan keseluruhan pegangan kepentingan Capital A Bhd dalam AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL) dan AirAsia Bhd (AAB).

 

Menurut AAX, pekeliling itu bagi tujuan semakan sebelum Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dijadualkan pada 16 Oktober 2024.

 

"Cadangan pengambilalihan itu bertujuan mewujudkan satu kuasa besar penerbangan yang lebih khusus, merangkumi tujuh syarikat penerbangan di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja.

 

“Sebaik selesai transaksi itu, kumpulan penerbangan baharu berkenaan akan merangkumi spektrum penuh perkhidmatan perjalanan udara jarak pendek, sederhana serta jauh bagi AirAsia X Bhd memanfaatkan permintaan perjalanan yang kian meningkat," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail berkata, langkah korporat ini akan mengukuhkan lagi kelebihan daya saing kumpulan syarikat penerbangan terbabit serta meraih permintaan dalam sektor penerbangan.

 

Pada masa sama, katanya, langkah itu akan memberi manfaat kepada pemegang saham dengan menjadi sebahagian daripada kumpulan penerbangan yang lebih berdaya tahan, tangkas dan berkembang maju dalam pasaran perjalanan udara antarabangsa.

 

“AAX akan turut mendapat kelebihan ketara dengan memanfaatkan ekosistem Capital A dengan lebih meluas dan merangkumi semua aspek daripada perkhidmatan digital dan pengendalian darat sehingga tawaran dalam pesawat. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: AirAsia X bakal kendali 60 juta penumpang setahun selepas pengambilalihan penerbangan Capital A - RHB IB

 

"Sinergi ini akan membantu kumpulan penerbangan baharu itu beroperasi secara cekap kos.

 

"Cadangan pengurangan modal saham yang turut dikemukakan, akan mengurangkan kerugian terkumpul dan meningkatkan profil kewangan AAX,” katanya.

 

Pekeliling itu yang kini dipaparkan di laman web AAX, memberi butiran lanjut mengenai cadangan termasuk Cadangan Penerbitan Waran Percuma, Cadangan Penempatan Persendirian, Cadangan Pengambilalihan AAAGL, Cadangan Pengambilalihan AAB, Cadangan Pengurangan Modal Saham dan Cadangan
Pemberian Pilihan Langganan.

 

Sementara itu, Pengerusi AirAsia X, Datuk Fam Lee Ee berkata, pengambilalihan yang dicadangkan adalah titik perubahan dalam strategi syarikat untuk mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang saham. 

 

"Penggabungan semua syarikat penerbangan berjenama AirAsia di bawah satu kumpulan akan mencipta sinergi yang kuat, meningkatkan pengurusan pesawat dan membolehkan kami menangkap bahagian yang lebih besar daripada pertumbuhan trafik udara, baik di peringkat serantau mahupun global. 

 

"Ini meletakkan kami untuk memperoleh keuntungan yang lebih kukuh pada masa hadapan sambil mengekalkan fokus kami dalam menyediakan perjalanan udara yang berkualiti tinggi dengan kos rendah.

 

“Bagi pemegang saham kami, yang merupakan kunci kepada transformasi ini, langkah ini membuka peluang yang signifikan dan berfungsi sebagai platform untuk pemegang saham mengakses kumpulan syarikat penerbangan yang matang, dengan rekod kejayaan yang terbukti dalam keuntungan," jelasnya.

 

Beliau berkata, dengan penggabungan syarikat penerbangan yang lebih besar, AAX akan memperoleh daya yang lebih kuat untuk mendapatkan tawaran yang kompetitif, berkembang ke pasaran baru, dan memacu pertumbuhan mampan untuk masa depannya. 

 

"Ini menandakan momen penting di mana pemegang saham dapat secara langsung menikmati manfaat daripada sinergi dan peningkatan kecekapan operasi daripada Pengambilalihan yang Dicadangkan,” ujarnya. - DagangNews.com