AirAsia tawar lebih 14,500 penerbangan sambungan di KLIA, lancar 5 laluan baharu pada suku keempat  | DagangNews Skip to main content

AirAsia tawar lebih 14,500 penerbangan sambungan di KLIA, lancar 5 laluan baharu pada suku keempat 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Okt - AirAsia, penyumbang utama status Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai lapangan terbang paling terhubung atau Megahub syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) kini menawarkan lebih 14,500 penerbangan sambungan merentasi 137 destinasi.

 

Menurut syarikat penerbangan itu, AirAsia kini mengendalikan 43% daripada semua penerbangan dan menyumbang 74% daripada jumlah kapasiti LCC di KLIA.

 

Pada suku keempat tahun ini, syarikat penerbangan itu akan melancarkan lima laluan baharu, menambah kepada 112 laluan antarabangsa dan 14 laluan domestik sedia ada yang kini beroperasi dari KLIA. 

 

Pada masa ini, AirAsia mengendalikan sehingga 236 penerbangan harian dari KLIA.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Penasihat AirAsia Aviation Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, KLIA merupakan lapangan terbang kedua paling terhubung di dunia, dikuasakan momentum yang dibina oleh AirAsia menjadikannya Megahub LCC. 

 

“KLIA mendahului lapangan terbang di rantau ini, menawarkan lebih 14,500 untuk penerbangan sambungan, mengatasi Singapura dan Bangkok dari segi sambungan udara.

 

“Peluasan rangkaian AirAsia yang berterusan bukan sahaja akan meningkatkan lagi kedudukan KLIA sebagai antara lapangan terbangan terbaik di dunia malah memastikan kami kekal berdaya saing dalam menghubungkan pasaran baharu. 

 

“Mesyuarat Agung Luar Biasa Capital A bersama pemegang saham kami pada minggu hadapan bertujuan untuk menyatukan operasi syarikat penerbangan di bawah satu kumpulan akan menyelaraskan dan memacu pertumbuhan jangka panjang syarikat,” katanya. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata, syarikat telah kini mempunyai pesanan untuk 361 buah pesawat jenis A321 untuk memenuhi strategi pengembangan dan keperluan sebagai kumpulan. 

 

“Pesanan ini bakal memperluas rangkaian kami dengan pantas dan meningkatkan ketersambungan merentasi Asia dan seterusnya, serta menjadikan Asia Tenggara sebagai hab transit utama seperti Dubai melalui pelbagai hab kami.

 

“Perkhidmatan Fly-Thru kami juga memainkan peranan penting dalam menghubungkan para tetamu dari seluruh dan kami menyasarkan untuk meningkatkan trafik Fly-Thru kepada 25% menjelang tahun 2025, meningkat daripada 21% pada tahun 2019, seterusnya memacu ketersambungan kami,” katanya. - DagangNews.com