KUALA LUMPUR 11 Dis - Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) meraikan beberapa organisasi dalam majlis Anugerah Rakan Kolaborasi AKPK 2023/2024, sebagai penghargaan atas usaha sama memperkasakan literasi kewangan melalui tiga perkhidmatan terasnya iaitu pendidikan kewangan, nasihat kewangan dan pengurusan kredit.
Dengan tema Growing with Purpose, majlis itu memperlihatkan peranan penting yang dimainkan oleh semua pihak terlibat dan rakan strategik dalam memastikan kesejahteraan kewangan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.
Anugerah disampaikan oleh Pengerusi AKPK, Anuar Mohd Hussan, sebagai penghargaan kepada organisasi terlibat yang telah memberikan sumbangan signifikan terhadap pelaksanaan inisiatif berimpak besar AKPK.
Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir berkata, kerjasama yang dilaksanakan bukan sahaja dapat membantu individu mengurus kredit mereka, tetapi juga membekalkan mereka dengan kemahiran untuk merealisasikan impian dan menjalani kehidupan yang lebih baik.
"Kesan daripada usaha murni ini telah memperkukuhkan kedudukan sosial negara, memastikan pemerkasaan dan kesejahteraan kewangan terus terpelihara untuk generasi akan datang," katanya dalam satu kenyataan.
Bagi anugerah utama, Bank Simpanan Nasional menerima Anugerah Usaha Sama Berimpak Penting untuk dedikasi yang tidak berbelah bagi terhadap usaha memperhebat inisiatif literasi kewangan di Malaysia.
Anugerah Rakan Komuniti Cemerlang yang buat pertama kali diperkenalkan, mengiktiraf Kampung Kuala Wau di Maran, Pahang atas penyertaan aktif dalam inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberikan impak kepada usaha pemerkasaan dan pembangunan literasi kewangan di kalangan komuniti.
Bagi kategori pengurusan kredit dan nasihat kewangan, Anugerah Rakan Kolaborasi Bersinergi dimenangi oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Lembaga Zakat Selangor dan TEKUN Nasional.
Anugerah Rakan Usaha Sama Unggul dalam Penyelesaian Kredit dan Sokongan PKS pula dimenangi oleh RHB Bank Berhad dan Malayan Banking Berhad, manakala Anugerah Pencapaian Kolaboratif Program Pengurusan Kredit menjadi milik CIMB Bank Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dan Public Bank Berhad.
Majlis anugerah itu memperlihatkan komitmen bersama AKPK dan agensi-agensi terlibat untuk memperkasakan rakyat Malaysia pada setiap peringkat yang penting dalam kehidupan mereka. - DagangNews.com