Alliance Bank, Jabatan Bendahari Negeri Sabah luaskan program celik kewangan Cabaran AEIOU di Sabah | DagangNews Skip to main content

Alliance Bank, Jabatan Bendahari Negeri Sabah luaskan program celik kewangan Cabaran AEIOU di Sabah

Oleh Shamsiah Zulkafli

KOTA KINABALU 25 Okt – Alliance Bank Malaysia Berhad mengukuhkan komitmennya untuk menyemai pengetahuan celik kewangan dalam kalangan kanak-kanak menerusi program Cabaran AEIOU, yang kini merangkumi lebih banyak sekolah di Sabah. 

 

Inisiatif yang telah merangkul anugerah peringkat kebangsaaan itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kemahiran pengurusan wang asas demi kesejahteraan kewangan mereka, khususnya untuk murid berumur sembilan hingga 12 tahun di Sabah. 

 

Bendahari Negeri di Jabatan Bendahari Negeri Sabah (JBNS), Datuk Mary Angela Sipaun, merasmikan bengkel celik kewangan Alliance Bank di Sekolah Kebangsaan Malawa, Sepanggar, Sabah. 

 

Kehadiran beliau mewakili JBNS menekankan sokongan negeri terhadap inisiatif tersebut. 

 

Murid-murid dari Sekolah Kebangsaan Keronggu di Inanam dan Sekolah Rangalu Baru di Tuaran turut menyertai acara berkenaan.

 

Untuk meluaskan jangkauan program, Alliance Bank bekerjasama dengan JBNS bagi mengenal pasti sekolah-sekolah di Sabah, termasuk kawasan seperti Sepanggar, Inanam, Tuaran serta beberapa buah komuniti lain yang kekurangan akses kepada sumber celik kewangan. 

 

Menerusi program Train-the-Trainers untuk Cabaran AEIOU, Alliance Bank berganding bahu dengan guru tempatan bagi menyampaikan pengetahuan celik kewangan melalui bengkel secara fizikal dan dalam talian. 

 

Sesi itu dijalankan dalam dwibahasa iaitu Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris di mana murid-murid dibimbing menyertai aktiviti seperti kuiz interaktif untuk memperkukuh pemahaman konsep kewangan. 

 

Bagi meningkatkan pengalaman pembelajaran, hadiah menarik turut disediakan bagi menggalakkan penyertaan yang lebih aktif dan menyeronokkan. 

 

Alliance Bank memainkan peranan penting dalam menyebarkan pengetahuan celik kewangan, dan usaha itu sejajar dengan Kurikulum Sekolah Tahun 2027 Kementerian Pendidikan Malaysia di mana ia menyumbang kepada objektif utama iaitu memupuk sifat pembelajaran sepanjang hayat. 

 

Kurikulum terbabit bertujuan menekankan pembangunan kemahiran dan pengetahuan di luar bilik darjah agar murid bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar. 

 

Inisiatif tersebut juga mengukuhkan komitmen Alliance Bank untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia, khususnya dalam kalangan belia dan kanak-kanak, selaras dengan Strategi Celik Kewangan Kebangsaan 2019-2023 yang diilhamkan oleh Jaringan Pendidikan Kewangan. 

 

Alliance Bank juga berharap agar visinya untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan kanak-kanak dapat melahirkan individu yang bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, sebagai sebuah institusi kewangan yang mengutamakan masyarakat, pihaknya komited menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap celik kewangan rakyat Malaysia. 

 

"Kami bukan sahaja memberi tumpuan kepada meluaskan capaian pendidikan Celik Kewangan AEIOU ke lebih banyak sekolah di Sabah, tetapi juga memperkasakan para pendidik dengan alat yang diperlukan bagi menyampaikan kandungan celik kewangan secara berkesan, seterusnya mencapai impak yang lebih mendalam. 

 

"Kami amat menghargai sokongan JBNS dalam membantu kami mendekati masyarakat dan melengkapkan murid dengan kemahiran kewangan yang bermanfaat sepanjang hayat," katanya dalam satu kenyataan.

 

JBNS memainkan peranan penting dalam memudahkan capaian Alliance Bank di Sabah dengan menyelaraskan usaha bersama sekolah dan komuniti tempatan, menggalakkan penyertaan dan memastikan program itu diterima secara meluas.

 

Mary Angela berkata, misinya adalah untuk mengekalkan kesejahteraan masyarakat dengan memperkasakan individu muda melalui pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan.

 

"Dengan menyokong inisiatif Alliance Bank, kami memastikan murid sekolah di Sabah dilengkapi dengan keperluan dan pengetahuan asas untuk membuat keputusan kewangan yang bijak sejak kecil. 

 

"Kerjasama ini membolehkan kami menyampaikan sumber berharga kepada sekolah-sekolah di seluruh Sabah, seterusnya memperkukuh kepentingan pendidikan kewangan pada peringkat awal," jelasnya.

 

Diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia sebagai sebuah program Celik Kewangan Terbaik untuk sekolah rendah pada tahun 2017, Cabaran AEIOU direka untuk mengajar kepentingan pengurusan wang yang bijak dengan cara yang menyeronokkan dan menarik. 

 

Sejak dilancarkan pada tahun 2015, Cabaran AEIOU telah memanfaatkan seramai 140,000 orang kanak-kanak di seluruh negara dan menerima lebih 130,000 penyertaan untuk Cabaran Melukis Komik dan e-Permainan. 

 

Pada tahun ini, lebih 25,000 murid menyertai program sama, meningkat kira-kira 30% berbanding musim sebelumnya. 

 

Lebih 1,200 orang guru turut berpeluang mengendalikan bengkel celik kewangan di sekolah masing-masing, dan program itu telah meliputi lebih 1,000 buah sekolah. 

 

Alliance Bank akan terus meluaskan jangkauan pendidikannya untuk memastikan prinsip penting pengurusan kewangan dapat diakses oleh murid di seluruh Sabah dan kawasan sekitarnya. - DagangNews.com