AME Elite, Majestic Gen lancar taman perindustrian Northern TechValley bernilai RM1.3 bilion di Seberang Perai | DagangNews Skip to main content

AME Elite, Majestic Gen lancar taman perindustrian Northern TechValley bernilai RM1.3 bilion di Seberang Perai

Oleh Shamsiah Zulkafli

SEBERANG JAYA 28 Okt - Suling Hill Development Sdn Bhd (Suling Hill), sebuah usaha sama antara penyedia penyelesaian ruang perindustrian terkemuka, AME Elite Consortium Berhad (AME Elite) dan pemaju hartanah terkenal, Majestic Gen Sdn Bhd (Majestic Gen), pada Isnin melancarkan Northern TechValley @ BKE, sebuah projek taman perindustrian bernilai RM1.3 bilion di Seberang Jaya, Penang.

 

Dibina di kawasan seluas 30.75 hektar, Northern TechValley merupakan projek pertama pembangunan taman perindustrian bersepadu AME Elite di luar Johor, yang telah berjaya menarik syarikat domestik dan multinasional dari industri bernilai tinggi. 

 

Projek itu juga memanfaatkan pengalaman luas Majestic Gen dalam pembangunan komersial dan perindustrian, menggabungkan kekuatan kedua-dua syarikat untuk meningkatkan tawaran nilai taman berkenaan.

 

Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, menekankan kepentingan projek tersebut dalam strategi pembangunan negeri yang berhasrat menjadi hab teknologi global dan menarik pelaburan bernilai tinggi.

 

Pengarah Suling Hill, Dylan Tan Teck Eng berkata, Northern TechValley @ BKE mencerminkan visi Pulau Pinang untuk menerajui sektor teknologi global. 

 

BKE

 

"Dengan memanfaatkan kekuatan AME Elite dan Majestic Gen, kami menubuhkan taman perindustrian yang dinamik yang menyokong pertumbuhan pembuatan maju dan industri teknologi tinggi.

 

"Pembangunan ini akan menyediakan ekosistem yang kukuh bagi perniagaan yang berkembang di Asia Tenggara, menawarkan penyelesaian ruang fleksibel dan pengaturan yang boleh disesuaikan untuk memenuhi pelbagai keperluan operasi," katanya dalam satu kenyataan.

 

Jelas beliau, dengan pengalaman luas AME Elite, pihaknya bercadang untuk menarik syarikat terkemuka dalam sektor seperti semikonduktor, elektronik, teknologi perubatan dan logistik.

 

Tambahnya, sebagai taman perindustrian pertama AME Elite di luar Johor, Northern TechValley @ BKE menandakan satu perkembangan penting dalam strategi pengembangan syarikat. 

 

"Kami percaya projek ini akan memacu inovasi dan menyumbang kepada reputasi Pulau Pinang sebagai hab global untuk industri maju," ujarnya.

 

Lokasi utama Northern TechValley @ BKE di sepanjang Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) memastikan hubungan yang berkesan melalui rangkaian jalan utama termasuk Lebuhraya Utara-Selatan, membolehkan pengurusan logistik dan rantaian bekalan yang efisien. 

 

Lokasinya yang berhampiran dengan landasan kereta api, pelabuhan dan lapangan terbang, meningkatkan keupayaan logistik bagi perniagaan yang beroperasi dalam taman terbabit.

 

Menawarkan penyelesaian ruang satu hentian yang fleksibel yang disesuaikan dengan pelbagai keperluan operasi, Northern TechValley @ BKE membolehkan syarikat mengoptimumkan operasi dan mempercepatkan pelan pengembangan. 

 

Direka untuk kecekapan operasi dan kelestarian, taman itu dilengkapi dengan utiliti yang kukuh, bekalan kuasa dan air yang boleh dipercayai, serta internet gentian optik berkelajuan tinggi.

 

Selain itu, taman tersebut juga mengutamakan kesejahteraan komuniti dan pekerja, dengan mengintegrasikan kawasan rekreasi, dewan sukan dan penginapan pekerja yang selesa, yang menyokong persekitaran kerja-hidup yang seimbang untuk seluruh komuniti taman.

 

Berdaftar sebagai kawasan perbandaran GreenRE, pembangunan itu sedang dalam proses untuk mencapai pensijilan GreenRE bagi aspek kawasan perbandaran dan bangunan. 

 

Projek tersebut menggabungkan amalan pembinaan mampan, termasuk kaca reflektif untuk meminimumkan pemindahan haba, lembaran telus yang membolehkan pencahayaan semula jadi yang mencukupi dan penyelesaian solar untuk meningkatkan kecekapan tenaga.

 

Pembinaan Northern TechValley @ BKE yang memakan masa selama lima tahun, dijangka siap pada 2029. - DagangNews.com