AmInvest Research percaya terdapat risiko pengawalseliaan berkaitan RP4 disebabkan bantahan orang ramai terhadap kenaikan tarif 14.2% TNB | DagangNews Skip to main content

AmInvest Research percaya terdapat risiko pengawalseliaan berkaitan RP4 disebabkan bantahan orang ramai terhadap kenaikan tarif 14.2% TNB

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 6 Jan - AmInvest Research percaya terdapat risiko pengawalseliaan berkenaan RP4 disebabkan bantahan orang ramai terhadap cadangan kenaikan tarif sebanyak 14.2 peratus oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

Firma penyelidikan itu menganggarkan pertumbuhan permintaan elektrik yang dibenarkan ialah 3% di bawah RP4 (RP3: 1.7%), yang bermakna TNB tidak akan dapat menikmati lebihan permintaan yang datang daripada pusat data.

 

"Kami telah meningkatkan keuntungan bersih FY25F TNB sebanyak 4% dan pendapatan bersih FY26F sebanyak 5% untuk mengambil kira volum jualan elektrik yang lebih tinggi sebanyak 3% di bawah RP4 (RP3: 1.7%).

 

"Walaupun begitu, kami mengekalkan UNDERWEIGHT dengan harga sasaran yang lebih tinggi iaitu RM12.60/saham (berbanding RM12.00/saham sebelum ini) kerana PE FY25F TNB sebanyak 19x telah pun menggambarkan andaian dalam RP4.

 

"Harga sasaran kami sebanyak RM12.60/saham adalah berdasarkan PE FY26F sebanyak 16x, iaitu purata lima tahun kumpulan," kata firma itu dalam nota terbaharunya hari ini.

 

AmInvest Research berkata, kesan pendapatan daripada kenaikan tarif mungkin tidak ketara kerana ia mungkin menyumbang kepada kos arang batu dan gas yang lebih tinggi.

 

"Oleh itu, surcaj ICPT akan menjadi lebih kecil dan tidak akan ada perubahan besar dalam hasil.

 

"TNB dan Suruhanjaya Tenaga belum mengeluarkan harga rujukan bagi arang batu dan gas di bawah RP4 lagi. Pada masa ini, harga arang batu Newcastle ialah AS$124/tan berbanding harga rujukan RP3 sebanyak AS$79/tan. Kadar pertukaran ialah AS$1.00: RM4.48 berbanding AS$1.00:RM4.12 di bawah RP3," ujarnya.

 

Tarif sebenar yang direalisasikan oleh pengguna pada 2H2025 mungkin lebih tinggi sedikit daripada paras semasa.

 

"Kami percaya bahawa pada masa ini, tarif sebenar atau muktamad yang ditanggung oleh kebanyakan pengguna adalah antara 45 sen dan 50 sen/kWj. Ini adalah termasuk surcaj ICPT sebanyak 16 sen/kWj (untuk pengguna komersial dan industri).

 

"Jika tarif asas yang dicadangkan sebanyak 45.6 sen/kWj telah menunjukkan kos arang batu dan gas yang lebih tinggi, tarif akhir pada 2H2025 mungkin lebih tinggi sedikit daripada paras semasa disebabkan surcaj ICPT yang lebih kecil. TNB belum mengeluarkan jadual tarif baru lagi," kaya AmInvest Research.

 

"Kami percaya had harga masih akan terpakai sekiranya tarif purata TNB direalisasikan lebih tinggi daripada asas RP4 iaitu 45.62 sen/kWj (RP3: 39.95 sen/kWj).

 

"Tarif yang direalisasikan oleh TNB mungkin lebih tinggi daripada tarif asas jika terdapat perubahan dalam campuran pelanggan misalnya, bilangan pengguna komersial yang lebih besar," ujar AmInvest Research.

 

Pusat data dikelaskan di bawah sektor komersial dalam RP3. TNB memulangkan kira-kira RM492 juta di bawah Had Harga kepada Dana Industri Elektrik pada 9MFY24. - DagangNews.com