AREA beli 12.14 hektar tanah perindustrian, bangun pusat data dengan GDV AS$15 bilion di Kedah | DagangNews Skip to main content

AREA beli 12.14 hektar tanah perindustrian, bangun pusat data dengan GDV AS$15 bilion di Kedah

(Barisan belakang: kiri ke kanan) Ketua Pegawai Operasi (COO) AREA Advisory Sdn Bhd, R Remakanthan Ramachandran, Naib Presiden Kanan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Fadzli Abdul Wahit dan Pengarah kanan Northern Gateway, Datuk Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim. (Barisan hadapan: kiri ke kanan): Pengerusi Eksekutif Kumpulan AREA, Datuk Stewart LaBrooy, dan Pengarah Lembaga Northern Gateway Sdn Bhd, Muhammad Khairul Fuadi Hamdan - Gambar hiasan dari Facebook Kumpulan AREA
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Okt - Firma penasihat hartanah, AREA Group of Companies melalui Data Gateway Sdn Bhd menandatangani perjanjian jual beli dengan Northern Gateway Sdn Bhd untuk membeli 12.14 hektar tanah perindustrian di Delapan, Kedah. 

 

Tanah itu akan digunakan bagi membangunkan fasa pertama kampus pusat data berskala besar, dikenali sebagai AREA Data Centre Campus (ADCC).

 

Bagaimanapun, disebabkan perjanjian sulit itu, Pengerusi Eksekutif AREA, Datuk Stewart Labrooy tidak menyatakan harga tanah dijual itu.

 

Menurut AREA juga, mereka telah menandatangani perjanjian opsyen dengan Northern Gateway untuk membeli tambahan 20.64 hektar tanah di lokasi yang sama bagi fasa kedua ADCC dalam tempoh dua tahun.

 

Fasa pertama ADCC dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak AS$2.4 bilion, manakala keseluruhan 63.13 hektar, setelah siap, dijangka bernilai sekitar AS$15 bilion.

 

Kawasan 63.13 hektar itu terletak di Zon Ekonomi Khas Sempadan Delapan yang berkeluasan 1780.61 hektar, dengan Northern Gateway sebagai pemaju utamanya.

 

Katanya, zon tersebut menawarkan kawasan perdagangan dan perindustrian bebas serta terletak di hujung Lebuhraya Utara-Selatan dan Laluan Persekutuan 1 Malaysia yang berhampiran dengan sempadan Thailand.

 

“Kami telah memulakan fasa pertama dengan pembelian tanah seluas 12.14 hektar ini, di mana pusat data pertama dijangka siap menjelang akhir tahun 2025.

 

"Kami memilih tapak ini kerana ia mempunyai bekalan kuasa dan air yang mencukupi. Di samping itu, kawasan ini mempunyai sambungan kabel dasar laut yang mendarat di Satun dan Songkhla, Thailand, yang dihubungkan ke tapak kami melalui pertukaran internet (IX) yang dijangka siap pada 2025,” kata beliau dalam satu kenyataan.

 

Tapak tersebut kini dibekalkan dengan kuasa pencawang elektrik 132 kilovolt (KV) yang terletak di Bukit Kayu Hitam yang terletak tiga kilometer dari tapak tersebut. 

 

Katanya, sebuah pencawang transmisi utama (PMU) 132KV kedua sedang dibina oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB), dengan rancangan untuk membina PMU 275KV selepas itu. Kedua-dua PMU tersebut terletak dalam kawasan Delapan.

 

Selain itu, tapak itu mempunyai bekalan air yang mencukupi, dengan lebih daripada 65 juta liter sehari, bagi memenuhi keperluan pusat data.

 

Pengarah Kanan Northern Gateway, Datuk Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim, berkata, Delapan berada dalam kedudukan yang unik untuk menjadi destinasi utama bagi aset teras dan pelaburan berkualiti. 

 

Northern Gateway komited untuk membangunkan kampus pusat data pertama itu, serta menarik projek berkualiti institusi yang bernilai tinggi.

 

Area juga merancang untuk membangunkan ladang solar di Delapan, di mana ADCC dapat menawarkan tenaga hijau kepada pelanggan mereka bagi mencapai sasaran sifar karbon.

 

Selain itu, tapak ADCC dianggap sesuai untuk menjadi hab pusat data berskala besar kerana lokasinya yang jauh dari lapangan terbang dan stesen keretapi, tetapi masih mempunyai akses baik melalui rangkaian lebuh raya yang sedia ada. - DagangNews.com