Acara InvestSmart SC 2024 beri fokus kepada perancangan persaraan dan perlindungan penipuan | DagangNews Skip to main content

Acara InvestSmart SC 2024 beri fokus kepada perancangan persaraan dan perlindungan penipuan

Pengarah Eksekutif dan Penasihat Umum Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia, Yew Yee Tee (tengah), bersama rakan kongsi dan pempamer di acara pendidikan pelabur tahunan utama SC, InvestSmart Fest 2024 di Mid Valley Convention Centre, Kuala Lumpur.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 Okt - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan program pendidikan pelabur tahunannya iaitu InvestSmart Fest 2024, dengan memberi fokus kepada perancangan persaraan dan usaha melindungi pelabur daripada penipuan. 

 

Kajian SC baru-baru ini mendapati, sebanyak 54% responden percaya bahawa simpanan  mereka tidak mencukupi untuk persaraan, dengan hanya 16% yakin dana mereka boleh bertahan 20 tahun selepas bersara. 

 

Lebih membimbangkan, 18% responden merasakan simpanan mereka hanya boleh bertahan selama lima tahun atau kurang. 

 

Perlindungan pelabur juga kekal sebagai isu penting, dengan 3,380 aduan dan pertanyaan berkaitan penipuan diterima oleh SC setakat suku ketiga tahun ini. 

 

Trend itu semakin bertambah, dengan peningkatan sebanyak 28% pada tahun lepas, membuktikan kecanggihan skim penipuan yang kian berkembang walaupun terdapat campur tangan agensi berkaitan.

 

Oleh itu, InvestSmart Fest 2024 menggariskan usaha SC dalam meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai faedah pelaburan yang selamat serta amalan menyimpan lebih awal. 

 

Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi menegaskan, amalan berwaspada dalam dunia yang semakin digital ini bukan lagi menjadi suatu keutamaan bagi pelabur, tetapi satu keperluan. 

 

"SC kekal komited dalam melindungi pelabur, tetapi pelabur harus berwaspada. Melalui InvestSmart Fest, kami melengkapkan rakyat Malaysia dengan sumber-sumber untuk mengenali ancaman dan membuat keputusan kewangan yang selamat," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Kounsel SC, Yew Yee Tee memberi amaran mengenai peningkatan penipuan digital yang melibatkan penipuan deepfake, skim penipuan pra tawaran awam permulaan (IPO) dan penyalahlabelan produk patuh syariah.

 

"Orang ramai mesti berhati-hati dan memastikan mereka berurusan dengan individu atau syarikat yang berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan," ujarnya.


 
Sebagai respons kepada populariti pempengaruh kewangan (finfluencer) yang semakin meningkat di media sosial, SC telah mengemas kini Nota Panduan mengenai Penyediaan Nasihat Pelaburan.


 
SC juga memberi amaran terhadap penipuan akaun keldai, di mana mangsa dipujuk untuk menyewakan akaun bank mereka yang boleh membawa kepada akibat yang serius.

 

Dengan kerjasama Bursa Malaysia, InvestSmart Fest 2024 juga akan menyertai kempen Ring the Bell for World Investor Week anjuran World Federation of Exchanges dan diterajui oleh Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa, menghimpunkan bursa saham seluruh dunia untuk menggalakkan pendidikan dan perlindungan pelabur.

 

InvestSmart Fest 2024, dijangka menarik lebih 11,000 pelawat ke Pusat Pameran Mid Valley (MVEC), dengan menampilkan lebih 40 pempamer dan 600 sesi perancangan kewangan percuma di bawah #FinPlan4u. 

 

Buat pertama kalinya, Zon Anti-Scam akan mendidik orang ramai tentang pencegahan penipuan.


 
Acara itu disokong oleh Bursa Malaysia, Persekutuan Pengurus-Pengurus Pelaburan Malaysia, Persatuan Perancang Kewangan Malaysia dan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia. - DagangNews.com