KUALA LUMPUR 3 Jan - Perjanjian Rangka Kerja Awan (CFA 1.0) antara Awanbiru Technology Bhd (Awantec) untuk mengurus dan menyediakan perkhidmatan Google Cloud kepada kerajaan, dilanjutkan setahun lagi.
Lanjutan tersebut berkuat kuasa dari 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025, atau sehingga pelancaran CFA 2.0, mana-mana yang terdahulu. Nilai lanjutan bagaimanapun tidak didedahkan.
Penyedia perkhidmatan berasaskan awan itu memeterai perjanjian dengan Unit Pemodenan dan Perancangan Pengurusan Pentadbiran Malaysia (Mampu) serta Google Cloud Malaysia Sdn Bhd pada bulan Mac 2022.
Perjanjian ini bertujuan menyediakan perkhidmatan yang ditetapkan selama maksimum 35 bulan, iaitu sehingga 31 Disember 2024.
Mampu adalah agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk memodenkan dan menyelia perubahan sektor awam.
Nilai kontrak tidak didedahkan semasa perjanjian diumumkan, sebaliknya hanya menyatakan perjanjian itu bertujuan menetapkan skop dan terma asas bagi pembelian perkhidmatan awan Google oleh kerajaan.
Awantec berkata, lanjutan berkenaan menekankan kerjasama yang berterusan dan diperkukuhkan antara semua pihak yang terlibat untuk menyokong inisiatif awan kerajaan Malaysia, memastikan kemajuan dan inovasi yang berterusan dalam kemudahan dan penyelesaian awan.
Saham Awantec ditutup tidak berubah pada 32 sen semalam, memberi kumpulan yang tersenarai di Pasaran Utama itu permodalan pasaran sebanyak RM252.8 juta. - DagangNews.com