KUALA LUMPUR 7 Nov - Metro Healthcare Bhd mengumumkan sejumlah 24.47 juta saham yang tersedia untuk orang ramai dalam tawaran awam permulaan (IPO) telah terlebih langgan sebanyak 38.6 kali.
IPO penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kesuburan wanita yang akan disenaraikan di Pasaran ACE itu menawarkan sejumlah 156.63 juta saham baharu, dengan sebahagian besar 122.36 juta dilakukan melalui penempatan persendirian.
Bahagian awam ditawarkan pada harga 25 sen sesaham.
Sebagai sebahagian daripada pemindahan penyenaraiannya daripada Pasaran LEAP, Metro Healthcare dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 15 November 2024, dengan anggaran permodalan pasaran RM244.7 juta.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata ia menerima sejumlah 12,298 permohonan untuk 969.08 juta saham, bernilai RM242.27 juta, daripada orang ramai Malaysia.
Bagi peruntukan kira-kira 12.24 juta saham bagi bahagian pengundian Bumiputera, ia menerima 5,434 permohonan untuk 349.74 juta saham, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 27.58 kali.
Bagi bahagian awam yang selebihnya, ia menerima 6,864 permohonan untuk 619.34 juta saham, yang mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 49.61 kali.
Sementara itu, 9.79 juta saham yang disediakan untuk pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat, juga telah dilanggan sepenuhnya.
Ejen penempatannya juga mengesahkan bahawa mereka telah meletakkan sepenuhnya sejumlah 122.36 juta saham IPO kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Berdasarkan 156.63 juta saham baharu yang diterbitkan, Metro Healthcare dijangka memperoleh kira-kira RM39.16 juta daripada IPO.
Kumpulan itu memperuntukkan lebih separuh daripada hasil IPO bagi mengembangkan perniagaan obstetrik dan ginekologinya, dan RM3 juta diperuntukkan untuk membaik pulih dan menaik taraf premisnya.
Dana selebihnya yang dikumpul akan digunakan bagi menampung keperluan modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.
MIDF Amanah Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk terbitan IPO itu.- DagangNews.com