Batik Air lancar laluan baharu dari Pulau Pinang ke Jakarta mulai 1 Oktober 2024 | DagangNews Skip to main content

Batik Air lancar laluan baharu dari Pulau Pinang ke Jakarta mulai 1 Oktober 2024

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Sept - Batik Air melancarkan laluan penerbangan baharu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, bermula 1 Oktober 2024.

 

Syarikat penerbangan itu berkata, laluan terus yang dikendalikan oleh pesawat Boeing 737 Batik Air itu menawarkan pelepasan harian bagi memberi kemudahan kepada pengembara perniagaan dan pelancong. 

 

"Menurut pejabat Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, ketibaan pelancong melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, melibatkan lebih 40 negara pada tahun lepas.

 

"Dengan kemasukan pelancong tertinggi dari Indonesia (163,187), diikuti Singapura (74,800 pelancong), Taiwan (15,602 pelancong) dan China (13,029 pelancong),ia mengukuhkan lagi tarikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan utama," kata Batik Air dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, peranan laluan baharu itu dalam meningkatkan kesalinghubungan antara Malaysia dan Indonesia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

 

Beliau juga membincangkan kepentingan pelancongan perubatan di Pulau Pinang, sambil menjelaskan pulau itu sebagai destinasi utama penjagaan kesihatan yang berkualiti.

 

“Laluan baharu ini memudahkan pelawat Indonesia menawarkan perjalanan yang lancar bagi mendapatkan rawatan perubatan. Dengan penerbangan terus ke Pulau Pinang, pesakit boleh sampai ke destinasi mereka dengan mudah tanpa perlu berurusan dengan pelbagai sambungan.

 

“Pada 2023 sahaja, Pulau Pinang menerima lebih 160,000 pelancong Indonesia. Jumlah itu menggariskan Indonesia sebagai pasaran utama,” katanya. - DagangNews.com