TA Securities menilai harga saham Crest Group yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 50 sen | DagangNews Skip to main content

TA Securities menilai harga saham Crest Group yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 50 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Sept - TA Securities memberi harga sasaran sebanyak 50 sen terhadap Crest Group Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Saranan itu adalah berdasarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 14.4 kali ganda daripada pendapatan sesahamnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

 

Firma penyelidikan itu tidak memberikan sebarang penarafan untuk saham itu.

 

“Oleh itu, kami mengaitkan sasaran P/E sebanyak 18 kali ganda kepada EPS FY25, menghasilkan nilai saksama 50 sen, yang sejajar dengan rakan setaranya.

 

"Kami menyukai kumpulan ini kerana mempunyai pangkalan pelanggan yang pelbagai di empat negara selain menyediakan ruusan tersuai kepada pelbagai pelanggan merentasi pelbagai sektor, termasuk semikonduktor, elektrik & elektronik, akademik, automotif, minyak dan gas, penerbangan, sains hayat dan penjagaan kesihatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Crest Group sasar kumpul RM45.75 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

Firma penyelidikan berkata, berdasarkan laporan penyelidikan pasaran bebas yang disediakan oleh Smith Zander, yang disertakan dalam prospektus IPO, industri pengimejan, analisis dan ujian di Malaysia meningkat daripada RM4.3 bilion pada 2020 kepada RM7.3 bilion pada 2023 pada CAGR sebanyak 18.7%.

 

Melangkah ke hadapan, firma penyelidikan pasaran itu menjangka industri pengimejan, analisis dan ujian di Malaysia melihat prospek positif, disokong oleh peningkatan permintaan daripada industri elektrik & elektronik dan semikonduktor.

 

"Kami menganggarkan kumpulan mencatat pertumbuhan pendapatan sebanyak 5.0%, 8.1% dan 14.9% kepada RM22.1 juta, RM23.8 juta dan RM27.4 juta masing-masing untuk FY24, FY25 dan FY26, disokong oleh pelan pengembangan perniagaan serta prospek industri yang lebih baik," katanya.

 

Ditubuhkan pada 1999, kumpulan itu pada mulanya menumpukan pada membekalkan peralatan pemeriksaan dan kawalan kualiti kepada industri semikonduktor dan elektronik dan elektrik (E&E).

 

Selama bertahun-tahun, syarikat telah mengembangkan tawarannya untuk memasukkan rumusan pengimejan, analisis dan ujian yang komprehensif dan dengan jangkauan industri yang lebih luas merangkumi bidang sains hayat, penjagaan kesihatan, penyelidikan, akademik, automotif, penerbangan dan minyak dan gas.

 

Perkhidmatannya terdiri daripada khidmat rundingan prajualan, penyesuaian, pemasangan, pentauliahan dan latihan pengguna kepada sokongan selepas jualan yang komprehensif.

 

Bahagian terbitan awam IPO kini dibuka untuk langganan, dengan permohonan ditutup pada 25 September 2024 pada pukul 5 petang.- DagangNews.com