Belanjawan 2025 kukuhkan daya saing global Malaysia - ICAEW | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2025 kukuhkan daya saing global Malaysia - ICAEW

Gambar: Naim Aziz/DagangNews
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 23 Okt - Ahli-ahli Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW) menyifatkan, Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober 2024, dapat meningkatkan daya saing global Malaysia dengan ketara sambil memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

 

Bekas Pengerusi ICAEW Members Society Malaysian Chapter, Kevin Foo bagaimanapun berkata, Malaysia perlu memperbaiki iklim perniagaannya bagi mengekalkan tarikan kepada syarikat multinasional.

 

bajet
Kevin Foo

 

"Belanjawan 2025 merupakan peluang penting untuk melaksanakan reformasi ini, dengan mencadangkan pendekatan efisien untuk memudahkan pertumbuhan perniagaan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Bersekutu Penasihat Cukai Korporat di KPMG Malaysia, Elliot Chaw pula menekankan ketidakselarasan dalam peraturan dan amalan antara negeri yang boleh menghalang pelaburan asing, terutama dalam pembangunan berskala besar.

 

bajet
Elliot Chaw

 

Beliau mencadangkan, proses mendapatkan lesen, kelulusan alam sekitar dan permit penggunaan tanah perlu diselaraskan melalui platform digital sehenti bagi mengelakkan kelewatan dan mewujudkan iklim pelaburan yang lebih kondusif. 

 

"Persekitaran yang stabil dengan peraturan yang jelas akan meningkatkan keyakinan pelabur dan menarik komitmen jangka panjang daripada pelabur domestik dan asing," jelasnya.

 

Bekas Pengarah Kanan Audit Dalaman Kumpulan di Maybank, Anitha Poopalasingam menyatakan, proses kelulusan pelaburan perlu diperkemas kerana tempoh kelulusan yang pantas akan meningkatkan kecekapan serta memudahkan pelabur menavigasi keperluan peraturan.

 

bajet
Anitha Poopalasingam

 

Beliau pada masa sama turut menggalakkan kerajaan mewujudkan dana pelaburan baharu untuk menarik pelaburan langsung asing bagi sektor tertentu yang selaras dengan keutamaan negara, seperti teknologi dan tenaga boleh diperbaharui.

 

"Dengan mempromosikan pelaburan berasaskan sektor, kita dapat mendorong pertumbuhan dalam bidang utama dan menyokong perusahaan kecil & sederhana (PKS) tempatan yang merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia," katanya.

 

Felo dalam bidang kewangan di Universiti Cambridge dan Ketua Pegawai Eksekutif Cammillion, Dr. Lim Kim-Hwa berkata, transformasi digital juga sama penting dengan pelaburan dalam peranti kerana ia dapat meningkatkan daya saing serta mengurangkan masa dan jarak ke pasaran.

 

bajet
Dr. Lim Kim-Hwa

 

"Meningkatkan ketersambungan digital, terutamanya di kawasan luar bandar adalah penting untuk memupuk inklusiviti dan membolehkan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada ekonomi digital global," jelas beliau.

 

Timbalan Ketua Perkhidmatan Jaminan di Ernst & Young Malaysia, Datuk Megat Iskandar Shah menegaskan, peranan penting PKS di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI tidak boleh disangkal, maka kerajaan perlu memastikan pertumbuhan dan kemampanan mereka untuk hala tuju ekonomi negara, terutamanya dalam mengakses pembiayaan dan meningkatkan kesediaan eksport.

 

bajet
Datuk Megat Iskandar Shah

 

Namun demikian, beliau berkata, walaupun inisiatif kerajaan sedia ada memberikan sokongan, pilihan pembiayaan alternatif yang lebih inovatif diperlukan untuk merapatkan jurang semasa.

 

"Pilihan pembiayaan seperti platform pinjaman digital dan modal teroka dapat memenuhi keperluan unik PKS dengan lebih baik, membantu mereka mengakses dana dengan lebih cekap dan menyertai sektor bernilai tinggi yang selaras dengan NIMP 2030," katanya. - DagangNews.com