KUALA LUMPUR 9 Dis - Bank Negara Malaysia (BNM) akan memberi taklimat kepada Ahli Parlimen esok berhubung cadangan kenaikan premium insurans perubatan antara 40% dan 70% pada tahun depan.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, taklimat itu yang diadakan secara tertutup bersama wakil BNM, antara lain akan menyentuh bagaimana proses kelulusan kenaikan kadar premium insurans dilakukan.
"Apabila berlaku kenaikan harga kadar premium insurans perubatan, pengendali insurans dan takaful perlukan kelulusan daripada BNM.
"Jadi kami ingin tahu bagaimana BNM beri kelulusan, apa kriteria yang diambil kira," katanya pada sidang media di Parlimen seperti laporan Free Malaysia Today.
Beliau turut menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) dan BNM menyiasat isu kenaikan kadar premium insurans perubatan dan caj hospital swasta dengan menubuhkan pasukan petugas selain Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menjalankan prosiding dan pendengaran awam.
"Kami bukan mencari kesalahan mana-mana pihak atau menyekat keuntungan sektor kesihatan swasta.
"Tujuan kami untuk menyeru kerajaan mencari penyelesaian kepada ekosistem kesihatan swasta dan pembiayaan kesihatan swasta yang mampan, supaya sektor ini berkembang dengan sihat," katanya.
Sebelum ini Kementerian Kewangan memaklumkan pihaknya dalam proses rundingan dengan pihak berkaitan berhubung kenaikan premium insurans perubatan antara 40% hingga 70%.
Pada 28 Nov lalu, BNM mengarahkan syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) menyemak strategi penentuan semula harga insurans perubatan serta kesihatan (MHIT) untuk memastikan ia lebih wajar.
Ia termasuk menguruskan kenaikan premium atau sumbangan dengan mengambil kira kesannya terhadap pemegang polisi insurans dan takaful. - DagangNews.com