KUALA LUMPUR 14 Jan - Penganugerahan kontrak Gamuda Bhd bagi membina pakej pertama projek LRT Pulau Pinang Laluan Mutiara dijangka meningkatkan penambahan kerja baharu sebanyak RM5 bilion,membawa jumlah kepada RM13.7 bilion pada FY25, kata TA Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, jumlah buku pesanan belum dibil Gamuda telah meningkat kepada RM37 bilion, mewakili 3.5x hasil pembinaan FY24.
“Berdasarkan margin disasarkan kira-kira 8%, projek ini dijangka menjana keuntungan bersih sebanyak RM504.6 juta, diterjemahkan kepada keuntungan bersih berkesan sebanyak RM302 juta sepanjang tempoh pembinaan.
“Kami optimis dengan kemenangan kontrak ini, kerana ia mencerminkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kebajikan awam melalui sistem transit awam yang dipertingkatkan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook mengumumkan Segmen 2 akan dibuka untuk tender sekitar Julai tahun ini dan Segmen 3 pada Disember 2024,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:Gamuda peroleh kontrak RM8.3 bilion bagi pakej pertama projek LRT Pulau Pinang
LRT Pulau Pinang Segmen 2 meliputi pautan rentas saluran sepanjang 6 km dengan jejambat laut sepanjang 3.2km yang menghubungkan cadangan stesen Macallum di pulau itu ke Penang Sentral di Butterworth melalui jambatan rel atas laut.
Segmen 3 akan melibatkan kontrak sistem turnkey, meliputi reka bentuk, perolehan, pembinaan, ujian dan penyelenggaraan sistem rel.
Katanya, berdasarkan TA Securities berkata, termasuk segmen 1, firma tersebut menjangkakan jumlah hasil projek LRT Pulau Pinang melebihi jangkaan asalnya iaitu RM13 bilion.
“Memandangkan kerumitan projek, terutamanya jambatan rel atas laut, yang biasanya menanggung kos pembinaan yang lebih tinggi, kami menganggarkan Segmen 2 bernilai RM5 bilion hingga RM7 bilion.
“Bagaimanapun, kami tidak menolak kemungkinan bahawa sebarang lebihan dalam anggaran kos projek mungkin dibiayai melalui model perkongsian awam-swasta (PPP), melibatkan sumbangan kewangan daripada sektor swasta bagi memastikan kejayaan menyiapkan keseluruhan projek.
"Melihat ke hadapan, Gamuda berada pada kedudukan yang baik untuk mendapatkan baki dua segmen, disokong oleh kepakaran teknikalnya yang kukuh dalam pembinaan kereta api dan penyediaan sistem, seperti yang ditunjukkan dalam projek kereta api Australianya," katanya.
Sementara itu, TA Securities mengekalkan harga sasaran (TP) sebanyak RM6.30 sesaham dengan saranan “beli” ke atas Gamuda. - DagangNews.com