KUALA LUMPUR 17 Dis - Bursa Malaysia Derivatives Berhad (Bursa Malaysia) melancarkan Kontrak Niaga Hadapan Minyak Masak Terpakai USD FOB Straits (Platts) (FUCO), dengan sebanyak 42 kontrak yang mewakili 1,050 tan metrik minyak masak terpakai didagangkan pada hari pertama pelancaran.
Pelancaran FUCO itu berikutan perjanjian pelesenan dengan S&P Global Commodity Insights (SPGCI) bagi membolehkan Bursa Malaysia menggunakan penilaian harga Platts UCO FOB Straits dalam pengiraan harga penyelesaian akhir FUCO.
Minyak Masak Terpakai (UCO), yang sering dibuang sebagai sisa, boleh digunakan semula menjadi bahan api boleh diperbaharui berbanding bahan api tradisional.
Minyak masak terpakai boleh menjadi sumber yang berharga untuk kegunaan bidang seperti pengangkutan kerana berpotensi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, seterusnya mengurangkan kebimbangan perubahan iklim.
Selain itu, amalan kelestarian seperti menggunakan semula UCO untuk bahan api selaras dengan prinsip ekonomi kitaran, kerana ia mengalihkan sisa daripada tapak pelupusan dan mengurangkan pencemaran.
Pasaran bahan api semula jadi dijangka berkembang pada kadar 20 peratus setiap tahun, dengan anggaran mencapai 58 juta tan metrik menjelang 2030 di seluruh dunia, meningkat daripada 16.5 juta tan metrik pada 2023.
Perkembangan itu dijangka meningkatkan permintaan terhadap UCO, sekali gus memerlukan ketelusan harga dan rumusan pengurusan risiko yang lebih baik.
Pelancaran FUCO berkenaan merupakan langkah penting bagi Bursa Malaysia dalam memanfaatkan kekuatannya sebagai hab dagangan global untuk minyak makan dengan mempelbagaikan tawaran produknya dalam bidang UCO.
Pada masa ini, transaksi UCO terutamanya dijalankan berdasarkan asas spot atau back-to-back, yang menyebabkan banyak pihak berisiko terhadap turun naik harga.
FUCO mengatasi kekurangan itu dengan menawarkan platform yang boleh dipercayai dan telus untuk penemuan harga dan lindung nilai, membantu pihak berkepentingan merancang operasi mereka dan menguruskan risiko ketika pasaran terus berkembang dengan pesat.
Pengerusi Bursa Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, peralihan global ke arah ekonomi yang lestari telah mendorong bursa untuk menyesuaikan diri dengan kecenderungan pelaburan dan keperluan lindung nilai yang berkembang dalam kalangan peserta pasaran.
"Selain itu, hubungan antara derivatif dan pasaran asas seperti komoditi membolehkan bursa memimpin peralihan ke arah amalan lestari dalam pasaran fizikal.
“FUCO mewakili komitmen kami terhadap inovasi dan kelestarian. Dengan menawarkan alat yang berkesan untuk pemain pasaran UCO menguruskan turun naik harga dan memanfaatkan peluang dalam pasaran yang sedang berkembang ini, kami berhasrat memperkukuhkan daya tahan rantaian bekalan tenaga boleh diperbaharui,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Bursa Malaysia, Mohd Saleem Kader Bakas berkata, pertumbuhan pesat dalam pengumpulan dan kapasiti penapisan UCO di seluruh Asia Tenggara menjadikan pelancaran FUCO tepat pada masanya dan sangat relevan.
Katanya, Malaysia dengan lokasi geografinya yang strategik sebagai hab penghantaran serantau, berada dalam kedudukan yang ideal untuk menjadi tumpuan utama bagi perdagangan UCO di rantau ini.
"Kontrak FUCO, yang menggunakan harga FOB Straits, direka untuk mencerminkan dinamik pasaran Asia Tenggara, selaras dengan keperluan dan trend industri bahan api bio serantau.
"Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan S&P Global, sebuah Agensi Pelaporan Harga yang diiktiraf secara antarabangsa dengan reputasi yang kukuh, dalam usaha ini untuk memperkukuhkan rantaian bekalan industri biofuel serantau," ujarnya.
Ketua Global Penetapan Harga Biofuel, S&P Global Commodity Insights, Sophie Byron berkata, pihaknya mengalu-alukan keyakinan yang diberikan oleh Bursa Malaysia terhadap integriti penilaian harga Platts oleh S&P Global Commodity Insights.
Katanya, penanda aras harga UCO dan biofuel Platts membawa ketelusan harga dan kecekapan yang sangat diperlukan dalam perdagangan dan operasi, seperti yang diiktiraf oleh Bursa Malaysia dalam memilih penanda aras untuk membolehkan ahlinya menguruskan risiko.
"Bukan hanya di Asia Tenggara tetapi di seluruh dunia, UCO telah menjadi bahan utama untuk biodiesel, diesel boleh diperbaharui dan bahan api penerbangan lestari.
"Platts mengiktiraf keperluan penetapan harga yang jelas dan kukuh dalam pasaran yang berkembang ini dan komited untuk menyediakan rangkaian penanda aras yang melengkapkan penanda aras produk yang telah disempurnakan," jelas beliau.
Penyertaan awal pemain UCO serantau menonjolkan keyakinan pasaran terhadap fungsi FUCO sebagai saluran pengurusan risiko harga.
FatHopes Energy Sdn Bhd dan Mitsusho Sdn Bhd adalah antara peniaga pertama yang menyertai dagangan FUCO sebaik sahaja ia dilancarkan.
FUCO adalah kontrak yang diselesaikan secara tunai dalam dolar Amerika Syarikat.
Harga penyelesaian akhir adalah berdasarkan harga penilaian harian purata dari S&P Global Commodity Insights untuk UCO FOB Straits dalam tempoh lima hari perniagaan. - DagangNews.com