CIMB Islamic, YMB lancar Program Bantuan Bakul Makanan, agih rezeki bernilai RM100,000 kepada 400 keluarga asnaf di PPR Bukit Jalil | DagangNews Skip to main content

CIMB Islamic, YMB lancar Program Bantuan Bakul Makanan, agih rezeki bernilai RM100,000 kepada 400 keluarga asnaf di PPR Bukit Jalil

Dari kiri Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan; dan Pengerusi Yayasan Belia Malaysia, Dato’ Dr. Suhaimi Ibrahim, mengagihkan bakul makanan kepada penerima di PPR Bukit Jalil.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 8 Okt - CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) dengan kerjasama Yayasan Belia Malaysia (YBM) mengukuhkan komitmennya dalam memperkasa komuniti asnaf dengan melaksanakan Program Bantuan Bakul Makanan CIMB Islamic.

 

Inisiatif libat urus komuniti berterusan itu bermatlamat mengurangkan beban kewangan keluarga asnaf menerusi agihan bakul makanan. 

 

Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, CIMB Islamic, melalui Zakat Wakalahnya, mengagihkan barang makanan bernilai RM100,000 kepada 400 keluarga asnaf terpilih di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Jalil.

 

Hadir di majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff dan Pengerusi YBM, Dato’ Dr. Suhaimi Ibrahim.

 

Turut hadir, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Jalil, Rozaidi Ismail dan Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Muslim Mustapa, serta sukarelawan daripada CIMB yang mengagihkan bakul-bakul makanan yang mengandungi beras, tepung dan minyak masak, termasuk makanan ruji lain kepada penerima.

 

Ahmad Shahriman berkata, zakat kekal sebagai satu instrumen kewangan sosial asas dalam usaha meluaskan bantuan terhadap golongan asnaf dengan fokus menambah baik kualiti hidup mereka dan mengurangkan bebanan kewangan, membolehkan mereka  memperuntukkan pendapatan bagi keperluan asas dan memperbaiki kehidupan secara menyeluruh.

 

"Menerusi program ini, matlamat kami adalah bagi memastikan setiap keluarga mempunyai akses makanan berkhasiat di samping meringankan beban mereka sambil memupuk semangat kekitaan dan sokongan terhadap golongan memerlukan.

 

"Kami komited memainkan peranan sebagai institusi kewangan Islamik bertanggungjawab dalam menyampaikan impak positif dan bermakna kepada komuniti di bawah seliaan kami. Ini dilaksanakan menerusi pelbagai inisiatif yang kami terajui sejak beberapa tahun yang lalu yang  merangkumi prinsip perantaraan berasaskan nilai," katanya dalam satu kenyataan.

 

Dr. Suhaimi pula berkata, YBM berbesar hati bekerjasama dengan CIMB Islamic melalui inisiatif khidmat masyarakat baharu itu yang diyakini boleh membawa kesan positif terhadap kehidupan seharian komuniti asnaf. 

 

"Keluarga asnaf sering berdepan kekangan kewangan dalam mendapatkan keperluan makanan asas. Penyediaan barang makanan keperluan ini, diharap dapat menambah baik kehidupan setiap keluarga," jelas beliau. 

 

CIMB Islamic telah menerajui pelbagai inisiatif untuk menyokong kesihatan dan kesejahteraan golongan asnaf dan komuniti rentan menerusi program-program seperti CIMB Program K.A.M.I., di bawah Program CIMB Islamic Safe Space, misi bantuan banjir dan Harapan Ramadan.

 

Bank tersebut juga menerajui pelbagai program yang memupuk pertumbuhan kelestarian dan pembangunan golongan rentan, antaranya Program Keusahawanan CIMB Islamic – Taylor’s  Program iTEKAD Rider Entrepreneur CIMB Islamic, Program iTAAJIR CIMB Islamic – Universiti  Islam Antarabangsa Malaysia, Program Graduan Agropreneur Melon Manis Terengganu dan CIMB MicroBizReady. 

 

Inisiatif-inisiatif itu bertujuan menyalurkan kewangan sosial bagi memperkasa golongan asnaf dan usahawan B40 untuk menambah baik kehidupan dengan menyediakan bimbingan dan latihan agar kemahiran keusahawanan dan daya tahan mereka ditingkatkan, sekali gus menaikkan status sosioekonomi golongan tersebut.


 
Baru-baru ini, CIMB Islamic turut menyumbang mesin penuai padi bernilai RM298,000 kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di bawah program Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SBBA), dengan matlamat meningkatkan kemahiran petani asnaf tempatan dan mengurangkan kos pengeluaran dan penyumberan luar, sekali gus menangani isu keselamatan makanan nasional.  - DagangNews.com