CIMB rai ulang tahun ke-100 dengan konsert 100 minit tampilkan 100 selebriti | DagangNews Skip to main content

CIMB rai ulang tahun ke-100 dengan konsert 100 minit tampilkan 100 selebriti

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 25 Nov - CIMB Bank Berhad (CIMB) berjaya melaksanakan Konsert CIMB 100 Years & More Kita Bagi Jadi, menandakan pencapaian bersejarah ulang tahun ke-100 dalam menyemai impak positif menerusi pemerkasaan ekonomi dan keterangkuman kewangan dalam kalangan masyarakat di ASEAN. 

 

Konsert itu yang menampilkan tokoh-tokoh dari bidang muzik, sukan, seni dan komuniti, adalah kesinambungan kepada gerakan sosial CIMB, Kita Bagi Jadi, bermatlamat memupuk nilai positiviti dan meraikan semangat ketahanan yang dipamerkan rakyat Malaysia.

 

Diadakan pada Ahad di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, konsert bertemakan muzikal diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) itu, menyediakan platform kepada penyanyi berbakat serantau menerusi pertandingan nyanyian CIMB Rising Start ASEAN.

 

Selain itu, pelancaran Kita Bagi Jadi juga menandakan permulaan kerjasama dengan MPO menerusi perjanjian selama setahun, menyaksikan Orkestra Muda Filharmonik Malaysia (MPYO) mengiringi persembahan di CIMB Artober Art & Soul pada bulan lalu.

 

Dipimpin konduktor, Ahmad Muriz Che Rose, antara penyanyi tanah air yang membuat persembahan ialah Datuk Zainal Abidin, Aina Abdul, Azlan & The Typewriter, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini dan Jaclyn Victor.

 

Turut membuat penampilan adalah Datuk Azizulhasni Awang, Nadia Aqilah dan Tony Eusoff.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Novan Amirudin berkata, pihaknya berbesar hati dengan kehadiran pemegang kepentingan, pemegang saham, kerajaan, rakan kongsi dan pelanggan ke konsert berkenaan.

 

"Anda semua berperanan penting dalam membawa kami ke 100 tahun yang pertama dan seterusnya. Kami adalah bank ASEAN yang memberikan perkhidmatan kepada lebih 30 juta pelanggan dari pelbagai lapisan masyarakat. 

 

"Kami melayani semua, dari golongan yang kurang dilayani, kepada pelanggan berpendapatan tinggi, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sehingga syarikat besar, kerajaan dan syarikat multinasional. Kekuatan kami terletak pada kepelbagaian 33,000 orang kami di 10 negara. Kami memanfaatkan perspektif kolektif mereka dalam melayani pelanggan, bersatu dalam budaya CIMB," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sejak lima tahun lalu, CIMB mengeluarkan lebih RM50 bilion dalam bentuk pinjaman kepada golongan B40 dan perniagaan kecil di Malaysia, antaranya dengan kerjasama kerajaan.

 

Selain itu, sejumlah RM150 juta telah disumbangkan untuk inisiatif sukan, pendidikan dan alam sekitar, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat CIMB, sementara kira-kira RM7 juta diagihkan sejak tiga tahun lalu bagi menyokong usaha pemuliharaan hutan, sungai dan lautan.

 

Di sampung itu, sebanyak 20 juta pelanggan secara aktif menggunakan TNGD sebagai dompet harian mereka, termasuk 500,000 pekerja asing yang tidak mempunyai akaun bank tempatan.

 

Semasa Covid, TNGD membantu kerajaan menggerakkan tunai kepada golongan B40 melalui program E-Tunai dan E-Penjana. - DagangNews.com