East Coast Mall diramal jadi antara penyumbang hasil utama kepada CapitaLand pada FY24 | DagangNews Skip to main content

East Coast Mall diramal jadi antara penyumbang hasil utama kepada CapitaLand pada FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Okt - East Coast Mall yang terletak di Kuantan, Pahang diramal menjadi antara penyumbang hasil utama kepada CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) pada FY24, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Katanya, pusat beli-belah setinggi empat tingkat itu mencatatkan kehadiran seramai 8.7 juta pengunjung pada FY23.

 

"Pusat beli-belah ini telah mengalami peningkatan ketara sejak ia diperoleh pada 2011, termasuk ruang makan di Kawasan terbuka, peningkatan kemudahan lain seperti surau dan tandas bagi menarik lebih ramai pengunjung terutamanya dari kawasan berhampiran di luar Kuantan seperti Pekan.

 

"Selain itu, kira-kira RM5 juta diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan pada tahun ini.

 

"Kadar penghunian di pusat beli-belah itu kekal tinggi, iaitu sekitar 97% hingga 99%, mencerminkan permintaan yang kukuh untuk ruang runcit," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dari segi portfolio, pengurusan CLMT terus meneroka aset perindustrian/logistik yang memberikan pulangan positif dan ia adalah sebahagian daripada inisiatif strategiknya untuk meningkatkan pulangan.

 

Katanya, pada masa ini, CLMT memiliki dua aset logistik (Hab Logistik Valdor dan Pusat Pengedaran Glenmarie), bernilai RM123.2 juta (atau 2.5% daripada jumlah AUM). 

 

"Masih belum selesai ialah pemerolehan tiga hartanah perindustrian pegangan bebas yang terletak di Nusajaya Tech Park di Iskandar Malaysia, Johor, dijangka siap pada suku keempat 2024 (harga belian RM27 juta).

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) 73 sen sesaham. - DagangNews.com