KUALA LUMPUR 17 Dis - Fitch Ratings mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan tinjauan “Stabil”.
Pemacu utama yang menyokong penarafan ini adalah momentum pertumbuhan yang kukuh dan meluas; kedudukan politik yang stabil; lebihan akaun semasa secara berterusan dengan pelaburan langsung asing yang teguh; dan penurunan defisit fiskal.
“Pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia ini merupakan satu pengiktirafan terhadap kemajuan ekonomi Malaysia seperti aspirasi di bawah kerangka Ekonomi MADANI.
"Ini khususnya komitmen Kerajaan MADANI untuk melaksanakan pembaharuan signifikan dalam perundangan dan institusi yang menghasilkan dasar yang lebih jelas dan baik serta pengurusan ekonomi yang berkesan” kata Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Fitch menyatakan bahawa kepastian dasar dalam negara telah bertambah baik ekoran kestabilan Kerajaan yang dicerminkan oleh pengenalan pelbagai pembaharuan ekonomi, termasuk pengukuhan tata kelola entiti milik kerajaan serta perundangan, antara lain Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
Perkara ini adalah selaras dengan pandangan Tabung Kewangan Antarabangsa yang menyatakan bahawa pelaksanaan agenda pembaharuan oleh Kerajaan adalah bertepatan dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan inklusif.
Ekonomi Malaysia berkembang dengan kukuh pada 5.3%, bagi suku ketiga 2024 didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan prestasi sektor luar yang bertambah baik.
Kerajaan yakin untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang teguh pada tahun 2024, yang telah disemak semula lebih tinggi dalam lingkungan 4.8% dan 5.3%, daripada anggaran awal antara 4% dan 5%.
Kerajaan komited untuk melaksanakan konsolidasi fiskal, merapatkan jurang defisit secara beransur-ansur yang dianggarkan 4.3% daripada KDNK pada 2024 kepada 3.8% pada 2025.
Belanjawan 2025 telah digubal untuk menyokong momentum pertumbuhan ekonomi, dengan unjuran pertumbuhan antara 4.5% – 5.5% pada 2025.
Kerajaan komited untuk meningkatkan pengurusan fiskal melalui perluasan asas hasil, penggunaan sumber yang optimum dan meneruskan rasionalisasi subsidi, khususnya RON95.
Pembaharuan struktur dan institusi juga diberi keutamaan selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI untuk mentransformasikan ekonomi, meningkatkan nilai rantaian, menggalakkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi serta meningkatkan produktiviti dan daya saing negara. - DagangNews.com