foodpanda Malaysia lantik Tan Ming Luk sebagai Pengarah Urusan baharu berkuat kuasa 21 Oktober 2024 | DagangNews Skip to main content

foodpanda Malaysia lantik Tan Ming Luk sebagai Pengarah Urusan baharu berkuat kuasa 21 Oktober 2024

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 Okt - foodpanda Malaysia melantik Tan Ming Luk sebagai Pengarah Urusan baharu berkuat kuasa 21 Oktober 2024.

 

Dengan pengalaman lebih 10 tahun dalam peranan kepimpinan komersial dan operasi di Singapura dan Malaysia, Ming Luk membawa bersama pengetahuan industri yang mendalam, pemahaman yang jelas tentang pasaran dan pengguna tempatan, serta rekod prestasi yang terbukti dalam memacu pertumbuhan perniagaan.

 

Ming Luk berkata, beliau teruja menyertai syarikat tersebut dan menjadi sebahagian daripada platform yang memberi impak positif kepada komuniti, terutama dalam ekonomi gig yang semakin berkembang. 

 

"Saya berharap dapat bekerjasama dengan pasukan berbakat di foodpanda untuk memberikan nilai kepada pelanggan, rakan kongsi dan ekosistem yang lebih luas, sambil tetap setia kepada misi syarikat untuk memperkasakan perniagaan tempatan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sebelum pelantikannya di foodpanda, Ming Luk menjawat jawatan Ketua Pegawai Komersial di Touch ‘n Go Group, di mana beliau mengawasi pendapatan syarikat dan mengetuai peluang pertumbuhan baru. 

 

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Staf dan Ketua Strategi serta Operasi LazMall di Lazada, serta sebagai Ketua Negara untuk Malaysia dan Singapura di OYO Hotels. - DagangNews.com