KUALA LUMPUR 9 Dis - Haily Group Bhd menerusi Haily Construction Sdn Bhd menerima kontrak RM38.2 juta daripada Meridin East Sdn Bhd bagi pembinaan 168 unit rumah teres dua tingkat di Taman Bestari Perdana, Plentong, Johor Baharu.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pembangunan itu dilaksanakan dalam 3 fasa dengan fasa 1B1melibatkan 59 unit rumah bersaiz 22’ X 70’ dan satu unit pencawang berkembar Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Katanya, fasa 1B2 melibatkan 61 unit rumah bersaiz 22’ X 70’ manakala fasa 1B3 melibatkan 48 unit rumah dengan saiz sama.
"Tarikh permulaan hendaklah diarahkan secara bertulis oleh Pegawai Penguasa yang juga bermaksud arkitek bertauliah.
"Ketiga-tiga fasa itu dijangka siap dalam tempoh 15 bulan dari tarikh permulaan yang ditetapkan manakala pencawang TNB perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan dari tarikh permulaan yang ditetapkan," katanya.
Kumpulan itu berkata, lembaga pengarah menjangkakan kontrak itu menyumbang secara positif kepada pendapatan bersih sepanjang tempoh kontrak dengan mengandaikan tiadak sebarang kelewatan ketara.
Tiada risiko ketara yang boleh diramalkan selain daripada risiko operasi biasa yang dikaitkan dengan kontrak dalam perjalanan biasa perniagaan kumpulan Haily. - DagangNews.com