Hari Pengambilan Pekerja Semikonduktor Malaysia 2024 melebihi jangkaan, lebih 2,000 hadir dan 3,000 ditemuduga | DagangNews Skip to main content

Hari Pengambilan Pekerja Semikonduktor Malaysia 2024 melebihi jangkaan, lebih 2,000 hadir dan 3,000 ditemuduga

Sebahagian eksekutif dan wakil daripada syarikat-syarikat yang menyertai Hari Pengambilan Pekerja Semikonduktor Malaysia 2024 di MITEC, Kuala Lumpur, pada 4 dan 5 Oktober 2024.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 7 Okt - Hari Pengambilan Pekerja Semikonduktor Malaysia 2024 berakhir dengan lebih 2,000 kehadiran dan 3,000 peserta ditemuduga sepanjang dua hari dalam acara yang dianjurkan oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan Akademi Lanjutan Semikonduktor Malaysia & Akademi AI.

 

Acara berkenaan menyaksikan 25 syarikat semikonduktor terkemuka berkumpul di MITEC, Kuala Lumpur, pada 4 dan 5 Oktober 2024.

 

Antara syarikat terkemuka yang terlibat adalah gergasi industri seperti NXP, UST Global, Infineon Technologies, Inari Amertron, STMicroelectronics, Renesas, Vitrox, Synopsys, Skyechip, Chipsbank (Singapura), Betterlife (China) dan banyak lagi. 

 

Daripada tawaran pekerjaan secara terus hingga konsultasi kerjaya, acara itu memberikan akses tanpa tandingan kepada bakat terbaik Malaysia dan industri semikonduktor yang berkembang pesat serta bergaji tinggi. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sidec, Yong Kai Ping, berkata, dengan lebih 2,000 kehadiran dan lebih 3,000 peserta ditemuduga, acara itu mencapai objektif yang melebihi sasaran.

 

"Ini adalah satu kejayaan. Kami membawa bakat Malaysia ke pentas global dan memacu pertumbuhan sektor semikonduktor," katanya dalam satu kenyataan.

 

Jelas beliau, inisiatif tersebut akan meningkatkan lagi kehadiran Malaysia sebagai pemain utama dalam sektor reka bentuk dan semikonduktor global.

 

"Ini baru permulaan. Kami sedang mencipta ekosistem yang menghubungkan minda terbaik Malaysia dengan pemimpin industri global. Kesan acara ini akan dirasai di seluruh rantaian bekalan semikonduktor," ujar Kai Ping.

 

Acara berkenaan menghasilkan ratusan tawaran pekerjaan secara langsung, dengan permintaan tinggi untuk peranan utama seperti jurutera reka bentuk RTL, jurutera pengesahan reka bentuk, jurutera reka bentuk fizikal dan jurutera reka bentuk litar analog.

 

Tiga kategori utama yang hadir sepanjang acara adalah graduan baharu, pekerja profesional dan pencari kerja antarabangsa.

 

Graduan baharu menjadi golongan paling ramai hadir bagi mencari peluang pekerjaan, sementara pekerja profesional terutamanya dari sektor pembuatan, mahu meneroka peranan baharu dalam bidang semikonduktor.

 

Pencari kerja antarabangsa, terutamanya penduduk tempatan yang telah bekerja di luar negara pula berhasrat kembali ke Malaysia disebabkan cabaran ekonomi di negara Barat. 

 

Kehadiran ibu bapa di acara itu menonjolkan harapan mereka terhadap kerjaya masa depan anak-anak mereka dalam industri semikonduktor.

 

Hari pengambilan pekerja itu bukan sekadar untuk mengisi jawatan, tetapi bagi membentuk masa depan Malaysia dalam industri semikonduktor. 

 

Dengan ratusan temuduga berjaya dan banyak calon memperoleh tawaran pekerjaan secara langsung, ia jelas merupakan platform terbaik bagi pencari kerja dan majikan.

 

Berikutan kejayaan Hari Pengambilan Pekerja Semikonduktor Malaysia 2024, Sidec komited untuk menganjurkan lebih banyak acara yang akan terus memperkukuhkan Strategi Semikonduktor Kebangsaan Malaysia (NSS).  - DagangNews.com