KUALA LUMPUR 30 Okt - Pembekal produk kelengkapan rumah terkemuka dari Australia, Harvey Norman, mencatatkan pencapaian signifikan menerusi pembukaan cawangan utamanya di Mid Valley Megamall.
Pembukaan cawangan itu dirasmikan oleh Pengarah Pelaburan Kanan Suruhanjaya Perdagangan dan Pelaburan Australia, Patricia Lee.
Pengembangan terbaharu oleh Harvey Norman Malaysia tersebut menggabungkan inovasi dengan kemudahan pelanggan, sekali gus memberikan nafas baharu dalam penjualan kelengkapan rumah dan gaya hidup di Malaysia.
Pengarah Urusan Harvey Norman Singapura dan Malaysia, Bernice Kwok berkata, Harvey Norman dan cawangan utama itu merupakan bukti komitmen syatikat terhadap inovasi, kualiti, serta kepuasan pelanggan.
"Direka sebagai pusat pengalaman, cawangan ini menyambut kehadiran keluarga dan individu dengan rangkaian produk seperti kelengkapan rumah dan dapur, komputer dan peralatan komunikasi, perabot, serta tilam, semuanya di bawah satu bumbung.
Lebih daripada sekadar ruang jualan, cawangan ini juga menawarkan peluang kepada pengguna untuk merasai pengalaman menggunakan produk penyelesaian berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang memudahkan tugasan dan meningkatkan gaya hidup mereka melalui kelengkapan pintar serta teknologi terkini," katanya dalam satu kenyataan.
Terletak di Mid Valley Megamall, cawangan utama baharu tersebut menawarkan destinasi yang mudah untuk pelanggan meneroka dan mencuba penyelesaian rumah yang praktikal menerusi pelbagai pilihan produk.
Pelanggan berpeluang mencuba peralatan pintar dan kelengkapan rumah moden yang menjadikan tugas harian lebih berkesan serta menyenangkan.
Dengan menawarkan bengkel interaktif dan pameran produk yang diperibadikan, cawangan itu mencipta suasana yang membantu pelanggan memahami nilai sebenar penyelesaian rumah yang canggih di samping mempelajari mengenai kemampuan inovasi dalam melancarkan gaya hidup mereka.
Dalam mengukuhkan komitmennya menyediakan kemudahan berteknologi AI, Harvey Norman juga memperkenalkan Komputer Riba Next Gen AI, dikendalikan oleh pakar AI yang terlatih untuk membantu pelanggan mendapatkan penyelesaian teknologi terbaik daripada meningkatkan kreativiti hingga memudahkan tugasan kerja.
Inovasi itu menandakan era baharu dalam peranti produktiviti pintar, memperlihatkan usaha Harvey Norman untuk sentiasa menjadikan teknologi lebih mudah diakses dan diperibadikan bagi memenuhi keperluan individu pelanggan.
Sebahagian daripada inisiatif berterusan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Harvey Norman turut menyumbang 24 komputer riba AI bernilai sehingga RM97,000 kepada pelajar sekolah menengah yang kurang berkemampuan dan pusat pembelajaran sekolah.
Inisiatif tersebut bertujuan merapatkan jurang digital di Malaysia dengan menyediakan teknologi asas buat pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk meningkatkan pengalaman pendidikan mereka.
Dengan menyediakan peranti pembelajaran moden buat golongan pelajar terbabit, Harvey Norman memastikan manfaat teknologi dapat diakses oleh semua, seterusnya memperkasakan mereka untuk berjaya dalam bidang akademik, tanpa mengira latar kehidupan. - DagangNews.com