HLIB mengurangkan unjuran hasil Pavilion REIT sebanyak 5.3% mengambil kira sumbangan rendah Pavilion KL | DagangNews Skip to main content

HLIB mengurangkan unjuran hasil Pavilion REIT sebanyak 5.3% mengambil kira sumbangan rendah Pavilion KL

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Okt - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengurangkan unjuran hasil Pavilion Real Estate Investment Trust (REIT) sebanyak 5.3% selepas mengambil kira sumbangan lebih rendah daripada pusat beli-belah Pavilion KL.

 

Katanya, untung bersih 3QFY24 Pavilion REIT sebanyak RM78.9 juta berada di bawah jangkaan konsensus.

 

Firma penyelidikan tu berkata, sehingga kini pendapatannya meningkat sebanyak 21.6% disebabkan pendapatan daripada Pavilion Bukit Jalil yang baru diperoleh dan pendapatan sewa yang lebih tinggi daripada Pavilion KL.

 

"Keputusan 3QFY24 Pavilion REIT sedikit mengecewakan disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada jangkaan daripada Pavilion KL.

 

"Walaupun begitu, kami menjangkakan kumpulan itu mencatat prestasi yang baik pada suku berikutnya, disokong oleh peningkatan kehadiran pelanggan pada musim cuti, memanfaatkan aset utama seperti Pavilion KL dan Elite Pavilion Mall," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pendapatan hartanah bersih (NPI) Pavilion REIT meningkat 8.65% kepada RM131.86 juta pada 3QFY24 berbanding RM121.35 juta setahun lalu, disebabkan perbelanjaan operasi hartanah yang lebih rendah, terutamanya didorong oleh pembalikan peruntukan hutang.

 

Bagaimanapun, ia diimbangi kos penyelenggaraan yang lebih tinggi untuk Pavilion Bukit Jalil berikutan tempoh liabiliti kecacatan. 

 

Kos utiliti yang lebih tinggi disebabkan peningkatan penggunaan, akibat cuaca panas dan langganan tarif elektrik hijau daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB).

 

HLIB berkata, perbelanjaan runcit lebih kukuh dengan promosi akhir tahun dan pemulihan berterusan dalam ketibaan pelancong boleh menjadi faktor dalam prestasi Pavilion REIT pada suku akan datang.

 

Bank itu telah mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM1.69 sesaham.- DagangNews.com