TA Securities ramal pendapatan Mega Fortris naik 115% pada FY25, dibantu pesanan eksport tinggi | DagangNews Skip to main content

TA Securities ramal pendapatan Mega Fortris naik 115% pada FY25, dibantu pesanan eksport tinggi

Gambar hiasan dari Facebook Mega Fortris
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Okt - TA Securities mengunjurkan pendapatan Mega Fortris Sdn Bhd pada FY25 dan FY26 meningkat masing-masing kepada 115% dan 24%. 

 

Firma penyelidikan itu berata, ramalan mereka bergantung kepada beberapa faktor termasuk pertumbuhan hasil pada FY25 dan FY26 sebanyak 15% sehingga 23% dibantu pertambahan pesanan eksport.

 

“Unjuran kami terhadap pendapatan Mega Fortris juga bergantung kepada peningkatan penggunaan kapasiti kepada 85% sehingga 86%, margin untung sebelum cukai  (PBT) meningkat sebanyak 5% sehingga 6% mata didorong oleh kecekapan operasi yang lebih tinggi dan pembayaran dividen 30% pada tempoh yang sama,” katanya dalam nota penyelidikan, hari ini. 

 

Mega Fortris merupakan pengeluar kunci keselamatan yang mempunyai dua kilang pembuatan di Selangor. 

 

Syarikat itu menyediakan gabungan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 551 juta keping meterai keselamatan yang terdiri daripada pengedap plastik, pengedap kontena, pengedap kabel dan beg keselamatan.

 

Pada Isnin, Mega Fortris telah melancarkan  tawaran awam permulaan (IPO) yang menyasar untuk mengumpul RM99.07 daripada terbitan saham sebanyak 147.9 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sehingga 147.9 juta saham sedia ada di Pasaran Utama Bursa Malaysia. 

 

Daripada jumlah saham itu, 42.3 juta saham aka ditawarkan kepada orang awam Malaysia, manakala 25.4 juta saham pula ditawarkan kepada pekerja yang layak dan orang yang menyumbang kepada kejayaan syarikat, 38.0 juta saham akan ditawarkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Miti dan 42.2 juta saham akan diperuntukkan kepada tempat terpilih.

 

TA Securities berkata, penilaian harga kepada pendapatan (P/E) kumpulan itu untuk tahun kewangan 2024 (FY24) diunjurkan pada 32x, berdasarkan anggaran pendapatan sesaham (EPS) iaitu 67 sen. 

 

“Kami menilai Mega Fortris pada 75 sen satu saham berdasarkan 15x EPS pada tahun 2025,” katanya. - DagangNews.com