Belanjawan 2025: Indeks FBMKLCI saksikan kenaikan 12.44 mata, pelabur optimis pertumbuhan mampan merentas ekonomi | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2025: Indeks FBMKLCI saksikan kenaikan 12.44 mata, pelabur optimis pertumbuhan mampan merentas ekonomi

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Okt - Indeks FBMKLCI menyaksikan kenaikan 12.44 mata, mencerminkan prospek pelabur yang optimis terhadap ekonomi Malaysia berikutan dasar Belanjawan 2025 yang menggariskan inisiatif strategik dalam sektor pelancongan, logistik, hartanah dan tenaga bersih, kata Moomoo Securities Malaysia Sdn Bhd. 

 

Katanya, pelabur berpendapat dasar yang dibangkitkan dalam Belanjawan 2025 mampu memangkin pertumbuhan yang mampan merentas ekonomi Malaysia. 

 

Ini juga dibuktikan dengan membeli mengatasi jualan sebanyak 13.6% pada platform Moomoo minggu ini.

 

Moomoo berkata, industri pelancongan akan memanfaatkan peningkatan pembiayaan untuk membaik pulih infrastruktur bagi melancarkan  perjalanan antarabangsa dan domestik menjelang Visit Malaysia 2026.

 

"Keyakinan ini dicerminkan dalam sektor produk dan perkhidmatan pengguna lebih luas yang menyaksikan 327.50 juta saham diniagakan di Pasaran Utama.

 

"REIT hospitaliti, syarikat penerbangan dan syarikat percutian dijangka mendapat keuntungan daripada perkembangan ini apabila permintaan pengguna pulih, memberikan peluang menarik kepada pelabur.

 

"Bagi sektor logistik akan diperkukuhkan lagi melalui pembangunan infrastruktur pengangkutan dengan 27.66 juta saham didagangkan dalam Indeks Pengangkutan dan Logistik didorong oleh rantaian bekalan yang lebih cekap.

 

"Firma e-dagang dan penyedia logistik bakal menyaksikan peningkatan dalam margin operasi seiring dengan kemajuan peningkatan infrastruktur, sejajar dengan strategi Malaysia untuk kekal sebagai hab perdagangan yang kompetitif di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Moomoo

 

Selain itu, dasar seperti pelepasan cukai dan sokongan untuk pembeli rumah kali pertama alam Belanjawan 2025 telah mempengaruhi dagangan dalam Indeks Harta, yang merekodkan 222.46 juta saham yang didagangkan. 

 

Di samping itu, Moomoo berkata, Indeks Tenaga menyaksikan peningkatan sedikit sebanyak 2.73 mata kepada 859.03 pada 24 Oktober 2024, mencerminkan minat pelabur yang diperbaharui dan keyakinan pasaran.

 

"Sejumlah 60.74 juta saham telah didagangkan dalam sektor tenaga, menunjukkan penglibatan yang stabil walaupun terdapat ketidaktentuan global. 

 

"Syarikat solar, penyedia infrastruktur EV dan firma teknologi hijau terus berada pada kedudukan yang baik untuk memperoleh nilai yang signifikan apabila pelaburan kemampanan semakin pesat," katanya. 

 

Moomoo juga menjelaskan, pelabur kekal optimis dengan berhati-hati kerana Belanjawan 2025 memberikan penjelasan yang amat diperlukan mengenai keutamaan ekonomi kerajaan. 

 

"Kami menjangkakan indeks penanda aras akan meneruskan penyatuan sisi dan berkemungkinan didagangkan dalam julat 1,630 hingga 1,650 minggu depan. 

 

"Bagi mereka yang ingin melabur, memberi tumpuan kepada sektor seperti tenaga bersih dan logistik boleh menawarkan potensi pertumbuhan jangka sederhana hingga panjang," katanya. - DagangNews.com