KUANTAN 25 Okt - BASF Petronas Chemicals (BPC) melancarkan barisan pengeluaran kedua asid 2-ethylhexanoic (2-EHAcid) di tapak bersepadunya di Kuantan pada Khamis untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.
Syarikat itu menyatakan, sejak penubuhannya pada tahun 2016, kilang 2-EHAcid telah memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan di rantau Asia Tenggara.
Dalam satu kenyataan hari ini, BPC mengumumkan bahawa pecah tanah bagi barisan pengeluaran kedua dibuat pada suku pertama (1Q) tahun 2023.
Ia beroperasi sepenuhnya pada suku ketiga (3Q) tahun 2024, menggandakan kapasiti pengeluaran tahunan kepada 60,000 tan.
Ahli lembaga pengarah eksekutif dan Ketua Pegawai Teknologi BASF SE, Stephan Kothrade berkata, usaha tersebut menandakan satu pencapaian penting dalam komitmen kumpulan terhadap pertumbuhan yang menguntungkan dan penciptaan nilai.
"Sebagai sebahagian daripada strategi baharu, kami memberi tumpuan kepada pengukuhan jejak perniagaan teras kami di pasaran Asia yang berkembang pesat, memastikan kami memenuhi keperluan pelanggan yang semakin meningkat dengan produk berkualiti tinggi,” katanya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals Group Bhd, Mazuin Ismail, menekankan perkembangan baharu itu mencerminkan kekuatan berterusan dalam kerjasama antara BASF dan Petronas serta komitmen bersama terhadap pertumbuhan.
"Kami teruja tentang masa depan kilang ini. Peningkatan kapasiti ini secara strategik membolehkan BPC merebut peluang pertumbuhan di rantau ini," ujarnya. - DagangNews.com