HLIB unjur TIV meningkat kepada 800,000 unit didorong tunggakan pesanan Perodua pada suku keempat 2024 | DagangNews Skip to main content

HLIB unjur TIV meningkat kepada 800,000 unit didorong tunggakan pesanan Perodua pada suku keempat 2024

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov - Jumlah volum industri (TIV) sektor automatik diunjur naik kepada 800,000 unit daripada 760,000 unit sebelumnya, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB Research).

 

Firma penyelidikan itu berkata, unjuran tersebut menggambarkan pesanan tertunggak Perodua yang tinggi dan usaha jualan oleh pelbagai pengeluar peralatan asli (OEM) pada suku keempat 2024 (Q42024).

 

Pada bulan Oktober, TIV menyaksikan lantunan semula bulan ke bulan (MoM) sebanyak 20.3% kepada 69,900 unit, didorong oleh jadual pengeluaran penuh Perodua dan dorongan jualan akhir tahun oleh OEM lain.

 

Bagaimanapun, TIV Oktober menyaksikan penurunan 9.1% tahun ke tahun (YoY) akibat pesanan tertunggak yang lebih rendah.

 

"Kami menjangkakan volum jualan akan kekal pada bulan-bulan akan datang berikutan pesanan tertunggak Perodua yang masih tinggi dan kempen jualan yang lebih agresif dilancarkan oleh pelbagai OEM.

 

"Pengukuhan ringgit sehingga kini (YTD) memberi petanda baik untuk sektor itu, berpotensi mengimbangi persekitaran kos operasi yang lebih tinggi pada 4Q2024.

 

"Kami juga mendapati pelancaran yang lebih agresif oleh OEM China dengan harga dan ciri yang menarik, yang akan memberikan saingan sengit kepada OEM sedia ada," katanya dalam satu nota.

 

Bagi Perodua, HLIB Research tidak menjangkakan rasionalisasi subsidi yang akan berlaku untuk RON95 akan memberi impak ketara kepada OEM negara. 

 

Katanya, ramalannya berdasarkan segmen pasaran sasaran mereka berkemungkinan layak mendapat subsidi tunai, manakala segmen pasaran lain mungkin mempertimbangkan untuk menurunkan taraf pilihan pembelian kenderaan mereka.

 

Perodua dijangka melancarkan model SUV segmen B baharu dan model DO1D EV pada 2025.

 

Pilihan Utama HLIB ialah MBM Resources Bhd (Beli, TP:RM6.80) dan DRB-Hicom Bhd (Beli, TP:RM1.55) serta leverage kukuh ke atas OEM nasional, iaitu Proton Holdings Bhd dan Perodua.

 

Firma itu berkata, Proton dan Perodua kurang mengalami tekanan kompetitif untuk penetapan harga di bawah segmen RM100,000 dan potensi pertumbuhan eksport dalam jangka panjang.

 

"Kenaikan gaji kakitangan kerajaan akan datang berpotensi untuk menyokong TIV, terutamanya bagi segmen A dan segmen B," katanya.- DagangNews.com