Hup Seng catat untung bersih RM40.7 juta pada 9MFY24, sejajar dengan unjuran MIDF Research  | DagangNews Skip to main content

Hup Seng catat untung bersih RM40.7 juta pada 9MFY24, sejajar dengan unjuran MIDF Research 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Nov - Untung bersih Hup Seng Industries adalah sejajar dengan unjuran dan jangkaan konsensus MIDF Research bagi 9MFY24 selepas masing-masing menyumbang 76% and 86% daripada anggaran pendapatan penuh FY24.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan bersih Hup Seng pada 9MFY24 melonjak sebanyak 27.2% kepada RM40.7 juta didorong oleh peningkatan hasil kukuh dan kos gula lebih rendah.

 

"Keuntungan kasar 9MFY24 telah berkembang kepada 31.4% berbanding 29.6% pada 9MFY23 yang memanfaatkan daripada kedua-dua jumlah jualan yang lebih tinggi serta kecekapan kos.

 

"Jualan yang lebih tinggi ini direkodkan didorong oleh kecekapan pengeluaran daripada ketuhar baharu yang dijalankan secara komersial, yang telah meningkatkan kapasiti pengeluaran," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

Selain itu, Hup Seng mencatat hasil sebanyak RM104.4 juta dan untung bersih RM17.3 juta pada 3QFY24 didorong pasaran domestik kukuh dan permintaan pasaran eksport yang tinggi.  

 

Firma tersebut berkata, Hup Seng mengumumkan agihan dividen kedua 2 sen bagi sesaham dan dividen khas 1 sen bagi satu saham pada suku tersebut. 

 

"Oleh itu, untung besih Hup Seng pada 3QFY24 meningkat sebanyak 86.5% dari suku ke suku kepada RM17.3 juta, disokong oleh peningkatan hasil 30%.

 

"Peningkatan hasil pada suku itu didorong oleh jualan domestik yang menunjukkan prestasi kukuh merentas saluran perdagangan runcit, manakala jualan eksport kekal menggalakkan, terutamanya pasaran utama seperti Arab Saudi, Singapura dan Jepun.

 

"Kami mengekalkan unjuran kami terhadap Hup Seng dengan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM1.04 sesaham" katanya.- DagangNews.com